Di mana dia, anak kambing saya?
Wah, hari ini ada dua entri!
Marliza tag saya dengan Projek Rambang, untuk menyenarai 8 fakta rambang tentang saya, dan tag orang lain pula.
1) Saya sangat suka kacang. Tak kiralah kacang goreng, kacang parang, kacang bendi, kacang buncis, produk kacang (seperti tauhu, taw foo fah), kacang tumbuk, kuah kacang, biskut kacang. Pendek kata apa-apa yang melibatkan kacang, saya akan jadikan alasan untuk memakannya.
2) Saya pernah menetap/bermastautin di lima (daripada 14) negeri dalam Malaysia. Melaka (tempat tumpah darah), Johor (zaman remaja/sekolah menengah), Negeri Sembilan (matrikulasi), Selangor (zaman kolej/bujang), dan Sarawak (sekarang, ya, kerana ikut suami).
3) Saya sangat suka memasak (lebih kepada baking), dan kadang-kadang sengaja mencari alasan untuk berkongsi rasa dengan ramai orang. Bukanlah hebat sangat, cuma rasa bahagia dapat berkongsi kekenyangan.
4) Bila makan nasi, saya akan cuba menghabiskan sayur dulu sebelum makan nasi dan lauk lain. Alasannya, saya tidak mau merosakkan rasa nasi dengan lauk utama, dan tidak mau merosakkan rasa asli sayur.
5) Saya sangat sangat suka cuci tandas, terutama tandas yang sangat kotor. Saya rasa sangat puas bila dapat mentransformasi keadaan sangat jijik kepada sangat selesa. Ada satu ketika, saya terjumpa tandas awam yang busuk dan hancing, dan ada sabun juga. Maka dengan seadanya, saya mencuci/menjirus-jirus dengan air laju sekeliling tandas itu, walaupun tak dapat bersih sempurna, sekurang-kurangnya tidak berbau teruk lagi.
6) Saya sangat bahagia jika ada Clorox/Harpic/Ajax dalam tandas saya. (rujuk no 5). Dan saya rasa, bahan peluntur adalah antara ciptaan terhebat dalam dunia.
7) Saya sangat suka kopi. Obses sebenarnya. Maafkan saya jika ada memberi pengaruh beberapa orang di sekeliling saya untuk terobses dengan kopi atau nescafe.
8) Saya seorang yang kompleks. Baca ayat-ayat dalam blog inipun boleh tahu bagaimana saya. Saya letih sebenarnya menjadi manusia kompleks, tapi apakan daya.
Sesiapa yang mahu menyambung tag ini, silakan.
Comments