Tempat makan jangan diberaki
Agak tidak selesa hari ini, dengan selesema dan bersin yang tidak berhenti. Saya akan update lagi nanti.
Kemaskini pada 1:42 petang:
Saya buat donut kelmarin. Setelah agak gagal mendapat rasa sebenar donut yang saya buat pertama kali minggu lepas, maka saya cuba lagi. Ini gamba donut versi gagal saya,
Ini pula donut yang saya bikin Sabtu lepas. Mulanya ingin dijadikan minum petang, rupanya yis itu perlu masa untuk berfermentasi, (saya silap bajet, maklumlah baru belajar). Bila mula pukul 3, maka tidak sempatlah untuk minum petang dengan donut panas. Mereka selesai mengembang pukul 8 malam. Tidak mahu merosakkan selera makan malam, maka saya simpanbeku donut untuk sarapan pagi Ahad. Mujurlah tidak mengecewakan. Cuma belum jadi sangat lembut seperti donut Mak Bik saya atau donut Kafe A Matrik Pilah (lembutnya donut mereka, Dunkin Donut pun tiada tekstur seperti itu). Emak saya beritahu, mungkin Mak Bik letak sedikit keledek dalam donutnya. Benarkah? Harus minta resepi pulang semenanjung nanti.
Ini gambar donut yang saya kira berjaya (sebagai beginner, bagi can lah!)
Bahan-bahannya:
200 gm tepung berprotein tinggi
20 gm gula kastor
1⁄2 sudu teh garam
1 sudu teh yis
140ml susu segar
20 gm mentega
Minyak masak untuk menggoreng
Gula kastor utk salut donut tu lepas goreng (yang dikisar sedikit untuk salutan, tidak perlu terlalu halus)
Cara-caranya,
1. Tepung, gula dan garam dimasukkan ke dalam mangkuk dan digaul rata
2. Buat lubang di tengah kemudian masukkan yis.
3. Masukkan susu dan campuran digaul sehingga sebati
4. Kemudian mentega dimasukkan dan adunan diuli hingga sebati
5. Uli sampai tak melekat kat tangan, kalau terlalu lembik boleh tabur
sedikit tepung
6. Buatkan bentuk bulat kemudian tutup dengan plastic atau kain
lembab. Biarkan adunan naik 2 kali ganda.
7. Buat finger test utk uji doh samada sudah naik atau belum. Kalau lekat kesan jari
bermakna dah naik. Kemudian uli lagi, untuk buang angin pada doh.
8. Kemudian canaikan adunan setebal 1 inci dan terap dengan acuan donut. Kemudian biar naik 1.5 kali
ganda lagi, dan kemudian goreng di atas api yang sederhana hingga keperangan
kedua-dua belah donut.
9. Angkat dan toskan, kemudian segera salut dengan gula. (*boleh juga salut dengan coklat cair, taburkan kacang, atau mentega kacang, atau apa-apa toppings)
Resepi ini saya dapat daripada jiran Mak Busu saya, Kak Nurul. Terima kasih untuk Mak Busu kerana berkongsi resepi mudah ini. Kerana mudah, saya akan buat lagi bila kepingin donut nanti.
Oh, hujung minggu saya berisi dendam dengan En. Tikus. Pagi minggu yang indah dirosakkan bila saya tengok dapur berselerak dan huru hara, plastik roti digigit (roti pasti sudah penuh kontaminan air liur dia). Senduk kayu kesayangan saya juga habis digigit. Buka laci, semua sudah penuh dengan tinja dan cebisan racun tikus. (Suami saya yang umpankan dia dengan racun dicampur dengan roti malam sebelumnya). Pagi saya penuh marah dan dendam kerana saya perlu menukar alas laci, mencuci semua pinggan yang berkemungkinan ada tapak kaki dia, mensteril dengan dettol, dan membilas dan memastikan kami bebas dari sisa tinja dan saki dettol.
Oh, sebagai pelajar sains, saya sangat risau dan terlalu berhati-hati dengan tikus. Selain tahu apa-apa najis pun memang kotor dan memudaratkan, najis tikus punya rekod cemerlang sebagai penyebab kematian. Ya. Tidak boleh main-main. Bila sudah masuk dalam sistem darah, boleh sebabkan infeksi, dan pendek cerita, maut.
Kerana saya yang psiko dan sangat risau, malam tadi suami cuba strategi lain. Kami pasang perangkap tikus dengan roti (roti lagi!) di dalamnya. Alhamdulillah, sudah terjerat seekor. Ada gambar si culprit itu. Akan saya upload nanti. Moga beri pengajaran kepada saudara dia yang saya pasti, ramai.
Oh, tajuk entri ini adalah sebenarnya peribahasa melayu, maksudnya, "Jangan berbuat angkara di tempat mencari makan atau di tempat menumpang". Itu amaran lagi untuk masyarakat tikus.
Ironinya entri ini. Makanan dan tikus.
Comments