Kita di mana?
Ramai yang tahu saya sedang menyudahkan pengajian sarjana, tapi mungkin dalam ramai-ramai itu, tidak tahu apa yang sedang saya buat. Saya sedang menulis sekarang, literally. Kerana pengajian sarjana ada banyak jenis, ada yang kerja kursus sahaja (assignment dan ujian), ada yang penyelidikan tesis, dan ada juga gabungan keduanya. Kursus yang saya ambil, Bioteknologi Tumbuhan, di UKM, mewajibkan saya ambil gabungan. Tiada pilihan, untuk sarjana. Syukur, saya sudah selesai kerja makmal, sekarang sedang menyudahkan penulisan tesis.
Apa yang saya kaji sebenarnya? Ini kali pertama saya membincangkan tentang ini. Kajian tentang penghasilan bioplastik daripada kelapa sawit (secara layman term).
Bioplastik adalah plastik boleh cerna (boleh jadi humus kalau buang dalam tanah), sangat berbeza sifat dengan plastik biasa (kalau buang dalam tanah, sampai kiamat pun tidak boleh jadi humus). Plastik konvensional, atau plastik biasa asalnya daripada petroleum. Saya pun baru tahu fakta ini masa menyiapkan proposal pengajian. Maka, kerana itu, wajib tidak boleh dicerna tanah. Mahu atau tidak, petroleum dalam dunia yang dicipta Allah akan habis, untuk bahan api kereta, kapal, enjin dan sebagainya.
Mahu lari dan mencari penyudah masalah ini, maka penyelidik cari jalan supaya penggunaan plastik tidak menyusahkan manusia, malah membantu alam sekitar dengan mencipta plastik dari bahan alam, supaya mudah dicerna oleh tanah.
Sebetulnya, negara-negara maju seperti UK, US, dan Jepun sudah lama mengguna bioplastik dari gandum, jagung, rumput, barli, dan beberapa tumbuhan lagi. Cuba lihat plastik Jusco atau Carrefour. Kalau ada label biodegradable, pasti ia dibuat dari bioplastik. Biarkan dalam laci dalam sebulan dua, atau lebih, mesti jadi makanan lipas (atau kalau ada tikus pun boleh), sebab ia dari tumbuhan yang ada tapakjalan penghasil minyak.
Saya, salah seorang dari kumpulan penyelidik di bawah Dr Ruslan, sebenarnya mahu menjadikan kelapa sawit pula sebagai penghasil bioplastik. Tapi panjang pula ceritanya. Cuma kami pasukan memanipulasi DNA kelapa sawit. Jalannya sangat panjang untuk penghasilan produk akhir. Sudah hampir sepuluh tahun kajian ini, kerjasama dengan MIT (sebagai penyumbang intellectual-property dan dana juga), dengan MOSTE, dan institut kelapa sawit Malaysia, (MPOB) akhirnya tutup kedai. Saya pun tidak faham mengapa.
Kata Dr Ruslan, tidak perlulah kita selesaikan masalah mereka, misi sebenar saya untuk mendapatkan sarjana saja. Jika bercita-cita tinggi sangat nanti, sampai tua lah saya berjanggut dalam lab tidak selesai-selesai kerja.
Tapi, sayangnya, idea yang bijak ini tidak mampu diselesaikan. Saya mungkin tidak tahu apa-apa tentang politik dan pengaliran wang negara, maka saya hanya mahu selesaikan apa yang belum sudah. Pengajian saya.
Tentang DNA dan ketahyulannya, nanti saya cerita lagi.
Comments