Nan kuriak iyolah kundi
Nan merah iyolah sago
Nan baiak iyolah budi
Nan indah iyolah baso







Saya tidak memasak minggu ini. Masakan yang serius maksud saya. Suami tiada di sini. Maka masakan kali ini adalah yang pernah saya masak, tapi belum sempat diposkan dalam blog. Maka inilah. Sambal Bali. Dari mana datang nama Bali pun saya tidak tahu, tapi setahu saya ini merupakan antara resepi klasik dari Allahyarhamah MakWo saya yang diajar kepada emak (menantu) dan kemudian emak ajar pada saya. Dan sudah tersebar pun dengan jayanya di kalangan keluarga emak.


Saya percaya ini modifikasi atau origin masakan minang, (susur galur arwah makwo dari sana) tapi entah kenapa Bali yang mendapat nama. Mungkin ada antara pemilik asal yang merantau ke Bali dan mendapat ilham mencetus resepi ini. Tapi setahu saya Bali ramai penganut Hindu yang tidak makan daging. Entah. Tapi yang pasti resepi ini sangat mudah dan lazat, antara hidangan wajib kami setiap kali Aidilfitri atau Aidil'adha untuk dicicah dengan ketupat atau lemang. Alahai, teringatkan saja sudah mampu buat saya terliur. Inilah, resepinya.


1) Kisarkan bersama bawang merah dan bawang putih (secawan), kicap masin (secawan), dan cili kering (secawan). Titikkan dua tiga buku lengkuas (sebesar ibu jari).

2) Perapkan bahan kisar dan lengkuas dengan daging atau ayam (sekilo setengah). Masukkan juga asam keping/cuka (secawan) untuk perapan selama sejam (lebih lama lebih sedap).

3) Panaskan minyak, agak agak sesuai dengan cili dan daging yang terlibat. Tumiskan serai (2-3 batang yang telah dititik) dengan daun kari. Tumiskan juga beberapa biji cili hijau. Garing, keluarkan cili, tinggalkan serai dan daun kari. 

4) Masukkan bersama mereka bahan yang diperap (daging, dan cili, dsb). Masak hingga daging empuk. Kacau sekali sekala untuk elak daripada hangus. 

5) Selepas daging empuk, dan cili garing, masukkan semula cili hijau yang digoreng tadi. Untuk hiasan dan aroma. 

6) Selesai masak, tutup api, dan sedia untuk dihidang dengan nasi panas!



Masakan ini sangat komplemen dimakan bersama ikan kering masin yang digoreng garing dan dimakan dengan nasi panas-panas. (Selain hidangan hari raya yang saya nyatakan di atas). 


Oh, untuk pengetahuan, saya ada sedikit darah minang. Menurut ayah, kami adalah Suku Limau Purut+Suku Anak Melaka. Mungkin gabungan MakWo dan PakWo. Suku mana lebih kuat saya pun tak tahu. Yang pasti kami tidak mengamalkan adat perpatih, tidak lagi. Cuma seronok juga tahu ada cerita menarik tentang susur galur jauh dari Tanah Sumatera. 


Oh juga, selamat mencuba resepi mudah dan lazat ini!

Comments

Popular Posts