Di Jalan Allah Kami Mati


Sedang saya mencari-cari bahan untuk tazkirah, saya terdengar lagu yang sudah terlalu lama tidak bergetar dalam telinga saya. Dari blog seorang guru PASTI, ada senarai lagu yang dimuat turun dari Imeem.com, saya terus terpaku lama di situ. 

Terus mengingatkan saya zaman kanak-kanak saya yang selalu didengarkan dengan lagu dari kaset nasyid-nasyid begini. Nasyid yang dilagukan dengan hanya suara vokalis, lagu berirama mudah tapi indah, hampir menusuk terus dalam jiwa, ada beberapa juga menegak bulu roma saya. Begitu hebatnya lirik ditulis, yang menggetar jiwa dan menaikkan semangat juang Islam. 

Dulu, emak sering berkunjung di kawasan kedai bertentang jalan rumah kami. Ada deret kedai runcit, kedai jahit, kedai proses padi, dan kedai Al-Arqam. Ketika itu, Al-Arqam masih relevan, dan belum diharamkan (sebetulnya saya tidak berapa tahu cerita sebenar tentang kebenaran atau kesesatannya). Jadi, selain air susu soya yang kerap emak beli, adalah majalah Islam untuk kanak-kanak, dan kaset nasyid kompilasi kumpulan Nadamurni dan The Zikr. 

Ketika itu, manalah kami kenal atau hafal nama kumpulannya. Tidak pernah juga mencari-cari lirik. Terlalu kecil saya, mungkin tadika atau pra-tadika. Tapi kekerapan mengulang-ulang lagu tersebut menyebabkan kami terlalu suka dan jadi bahan nyanyi jika ada sambutan Maulud Nabi atau maal Hijrah di sekolah. 

Hebatnya penyanyi nasyid dulu, kerana, dendangan lagu tanpa instrumen, cuma kadang-kadang ada gendang saja. Tapi lagunya sangat menusuk jiwa, dan mudah juga untuk kami nyanyikan semula.

Syukur ada usaha untuk menerbitkan semula nasyid-nasyid lama, seperti Islam Yang Telah Berkembang, Pemuda-Pemudi Islam, Di Pondok Kecil, (kesemua oleh Nada Murni) dan Dunia Baru Islam oleh The Zikr, dengan suara Nazrey yang sangat segar dan sampai terus dalam jiwa.

Pemuda Pemudi Islam, Nada Murni

Pemuda pemudi tanamkan semangat waja
tegakkan kebenaran didunia yang banyak noda
tiupkan roh Islam yg sangat mulia
kumandangkan seluruh pelusuk buana
*
menyelamatkan Islam kerja kami
di jalan Allah hidup kami
di jalan Allah 
di jalan Allah kami mati
kami tak gentar dengan mati

kami tak rela Islam dihina-hina
bangunkan segera orang yang masih lena
kembangkan Islam ke seluruh dunia
seperti solaffussoleh yang banyak jasa *

pembela kebenaran marilah berjuang
membangun Islam walau ditentang
sejarah keagungannya yang sangat gemilang
biar ianya bangun berulang *


Hebat kan. Mahu dengar? Muat turun lah di sini. 

* Gambar dimuat turun dari sini.

Comments

Popular Posts