If you don't read the newspaper, you are uninformed; if you do read the newspaper, you are misinformed.
Tidak dapat tidak, kita mengelak daripada memperkatakan tentang pilihanraya yang akan diadakan lagi dua hari. Jika saya salah seorang calon, harus saya tidak lena tidur dan sudah hilang selera makan. Itu, jika. Sayangnya, saya tidak dapat terlibat dalam menunai tanggungjawab yang berat dan besar ini terhadap negara tercinta, kali ini. Sedikit kesal, tapi apakan daya.
Saya dan suami ada sesi berbincang-bincang ingat mengingati selepas solat, dan kelmarin, ada topik tentang menegakkan sesuatu yang benar, walaupun pahit. Dalam konteks keluarga yang kami bincang, cuma Islam itu kan sempurna, maka fakta itu betul dalam semua perkara. Termasuk dalam urusan menentukan pemimpin.
"Qulil haqqa walau kana murran"
Katakanlah yang benar, meskipun ia pahit. Seruan untuk kebenaran ini boleh dilakukan dalam tiga bentuk, bentuk kuasa, bentuk lisan, dan bentuk pernyataan dalam hati. Jika tidak boleh mengguna kuasa, atau tidak berkuasa, maka gunakan cara lisan. Jika tidak mampu juga, maka seboleh boleh, dengan doa, atau menidakkan dengan hati (dengan tidak meredhai sesuatu yang batil). Besar sebenarnya tanggungjawab memilih pemimpin ini.
Bayangkan, memilih pemimpin sudah cukup besar tanggungjawab, tidak boleh tersalah pilih, bagaimana jika jadi pemimpin pula? Semoga kita diberi hidayah dan petunjuk olehNya dapat memilih dan membuat penilaian dengan tepat.
Di sini, di Bintulu ini, saya kira, demam pilihanraya tidak begitu dirasai. Mengapa? Kerana kebanyakan penghuni adalah golongan perantau. Hanya ada dua parti iaitu BN dan DAP yang bertanding, dan kerusi sebelum ini diduduki oleh DAP. Tiada juga kedengaran ceramah atau kempen bergegar sampai ke rumah. Harus berbeza keadaan di semenanjung.
Oh, agak berat juga tulisan saya kali ini. Saya fikir, jika tidak dapat mengundi sekalipun, dapat memberitahu tentang pentingnya menunai tanggungjawab terhadap negara pun, jadilah.
Selamat mengundi!
Comments