Part of the secret of success in life is to eat what you like and let the food fight it out inside
Hujung minggu lepas, saya sebagai pembantu tidak rasmi suami, menemannya (dan berlagak sikit sikit sebagai pengarah fotografi) bagi satu lagi pasangan yang memerlukan khidmat kami. Ehem. Bukanlah tahu sangat, tapi bila-bila tiada idea saya ada di sisi dia. Sementelah tiada kerjaya sekarang, seronok juga, berkejar-kejar ke majlis orang, makan jamuan orang Sarawak, melihat-lihat dan menilai nilai budaya lain di Malaysia. Kelebihan bagi saya, tidak perlu bermesra dan tidak akan disalahkan jika tidak kenal dengan tetamu dan saudara mara tuan rumah. (Tapi tuan rumah dan keluarga asas mereka wajiblah kenal).
Sudahnya, dua hari berturut-turut bagi suami, dan sehari penuh yang meletihkan bagi saya (tapi seronok) menatijahkan kami habis tenaga dan ehem, konon konon saya tidak larat untuk memasak malam itu.
Saya sudah beritahu bukan, Bintulu masih dalam fasa pembangunan? Restoran makanan segera yang wujud hanyalah KFC. Mujur hujung tahun lepas, ada lagi satu pengusaha bijak membuka cawangan Chicken Hartz Buffet di sini. Belum pernah mencuba, meski sudah lama ada di semenanjung, maka kami berkeputusan mahu melepas lelah dan memberi reward kerja keras sepanjang hujung minggu dengan makan di situ.
Besar juga ruang makan, hampir dua lot CHB sewa untuk cawangan ini.
Aha, hidangan pertama. Lupakan, lupakan diet anda.
Ada peraturan? Tertekan sungguh bila makan-makan ada peraturan. Saya paling tidak setuju dengan peraturan nombor 3. Apakah? Pinggan makan dan mangkuk yang mereka sediakan pun daripada Melamin. Pecah bagaimanakah maksud mereka? Warung Pak Dollah hujung jalan di rumah saya pun tidak berkira sangat tentang pinggan pecah. (Sila klik pada gambar untuk imej lebih besar)
Belum campur aiskrim dengan kopi pekat lagi.
Imitasi gaya seseorang yang kami jumpa sebelum itu.
Keseluruhan, rasa sedap kurang ditekankan pada hampir semua makanan yang kami ambil. Tidak pasti di cawangan ini atau semua CHB memang begini. Untuk mereka yang tidak pentingkan kualiti, dan suka pada kuantiti, CHB 'all-you-can-eat" ini sesuai benarlah. Tapi jika mahu rasa yang memenuhi standard anda, ini bukan tempatnya. Ya benar, banyak pilihan makanan, tetapi sekadar memberi kenyang, tidak memberi rasa.
Pun begitu, kami memanfaatkan juga harga yang kami bayar. RM16.70 di sini. Yang paling kami suka adalah Ice Lemon Tea (itu pun Season punya) dan Kopi pekat yang kami minum pada akhir sesi makan makan. Sedap. Pekat.
Oh, saya ada beberapa cadangan kepada sesiapa yang mahu mencuba apa-apa makanan di restoran konsep buffet seperti ini:
1) Pastikan anda datang awal, dan memanfaatkan masa yang diberi. (kami fikir boleh duduk-duduk menonton satu dua movie dalam laptop sambil makan, tapi malangnya ada tempoh maksimum pula. Tapi kalau lebih, akan dihalau bagaimanakah?)
2) Jangan makan laju, dan jangan minum air semasa makan, nanti anda cepat kenyang. Rugilah.
3) Kalau ada seluar longgar, atau seluar sukan pun bagus. Jeans kurang sesuai. Kecuali anda hanya mahu makan sedikit.
4) Tidak bagus sangat makan banyak, nanti jadi malas. Kalau mahu makan buffet sekali sekala tak mengapalah.
Jangan salah faham, ini mungkin terjadi ketika kami jadi pelanggan. Mungkin, hidangan CHB di tempat lain lebih baik. Janganlah serius sangat, ya?
Comments