Laukku cukup masin, tak perlu engkau tambah garam
Hai semua. Sepertilah blog saya punya ramai pembaca. Sudah lama tidak berkongsi resepi lauk pauk. Bukan tidak memasak. Cuma tiada masa membelek-belek gambar dan mengolah dan menceceh dalam blog. Sementelah mak dan ayah mertua sudah pulang ke Johor Bahru yang meriah itu, maka kembalilah saya kepada rutin harian saya. Maka inilah. Masakan hari pertama selepas siri melawat Tamu Bintulu.
Seperti biasa, bagi penggemar atau surirumah tipikal pasti menggelabah dan jadi gamam bila masuk tamu di sini (tamu adalah pasar, bahasa orang sini). Sama seperti yang terjadi pada saya waktu mula-mula Zul bawa. Mak mertua saya juga begitu. Tidak, bukan salah kami. Ikan dan sekalian sahabat laut itulah. Murah. Banyak pilihan. Terlalu. Sampaikan bila tangan saya sudah jadi lenguh dan tidak larat lagi untuk menampung plastik ikan, baru kami berkeputusan, "Er..sudah-sudahlah mak. Tak muat peti sejuk Ain tu."
Lauk pertama yang mak beli tanpa berfikir panjang adalah, udang galah. Sebetulnya saya tidak tahu harga pasaran sebenar udang galah. Tidak pernah beli, dan rupa-rupanya saya tidak pernah makan. Mungkin saya jenis manusia yang tidak begitu setuju dengan harganya yang melampau, walaupun isi yang boleh dimakan tidaklah begitu jujur dengan harga. Zul juga berpendapat, isinya tidak semanis udang-udang anak daripadanya. Rm32 sekilo, emak beli sekilo. Kami beli juga Nenas Sarawak yang aduhai, manisnya, untuk masakan ini. Maka, resepi orang Johor, mungkin. (Jika yang saya belajar, resepi orang Masjid Tanah, dan emak Melaka ajar, perlu tanpa bawang putih dan perlu ada belacan). Mudah sangat. Cuma untuk membersih dan menyiang udang saja agak leceh. Inilah resepinya:
Udang Galah Masak Lemak Nenas
1) Bersihkan sekilo udang (buang sisa kumuh udang yang ada dalam kantung kecil di kepalanya), bilas dan selawat.
2) Potong nenas (sebiji sederhana besar untuk sekilo udang)
3) Kisar bersama bawang merah, bawang putih, kunyit hidup dan beberapa biji cili padi.
4) Masukkan kesemua udang, nenas dan rencah. Renehkan bersama santan sebiji setengah atau dua biji (jika sukakan kuah yang pekat, kerana nenas akan mengeluarkan air lantas jadi cair kuahnya).
5) Sentiasa jaga santan bila mendidih kacau-kacau sedikit supaya tidak berketul kuahnya. Masukkan garam.
6) Cukup rasa, mendidih, tutup api dan sedia untuk dihidang!
Mudah, kan saya sudah beritahu? Cubalah. Mestilah boleh juga guna udang-udang beradiknya yang lain. Selamat mencuba!
Comments