Pisang emas kubawa belayar
Aktiviti memasak bila pulang Melaka sangat mengujakan saya kerana biasanya emak akan selalu ada bahan-bahan untuk projek saya yang macam-macam dan menyusahkan. (menyusahkan saya sendiri, kan saya dah beritahu betapa lecehnya saya). Tapi emak pun kata, sudah lama juga tidak berasap oven, jika tidak saya yang mengguna. Ialah, di rumah pun bukannya ada ramai orang, kalau masak atau buat kek banyak-banyak pun bukan ada orang makan. Akhirnya nanti jadi jamuan ayam ayah, penat juga, kan?
Maka, ini resepi mudah yang emak dapat daripada isteri kawan ayah. Saya pun lupa namanya, semoga dia juga mendapat manfaat daripada perkongsian resepi ini. Mudah, dan antara sebab saya buat kek ini waktu pulang Melaka tempoh hari, kerana pisang ayah, alahai, banyak tak termakan, sampai ada yang busuk ranum. Juga kerana saya tidak gemar lepat pisang, maka pilihan terbaik adalah kek pisang inilah. Cubalah, mudah teramat!
Kek Pisang
1) Pukul 5 biji telur dengan secawan gula pasir
2) Masukkan secawan pisang (yang telah dilenyek), pukul sebati.
3) Masukkan pula dua cawan tepung gandum (yang telah diayak), sedikit demi sedikit ke dalam adunan.
4) Masukkan 1 sudu kecil soda bikarbonat dan 2 sudu kecil baking powder, pukul lagi.
5) Masukkan 1 sudu kecil esen vanilla dan secubit garam.
6) Masukkan dalam acuan atau loyang, bakar pada suhu 180 darjah celcius, 40 minit. (Jika pakai loyang, 40 minit, jika guna acuan kecil cupcake, hanya 8-10 minit)
Kerana saya guna acuan mufin, maka tempoh membakar lebih singkat. Kek ini tidak terlalu manis, dan rasa asal pisang akan dapat dikecap pada hujung kunyahan. Maka, saya taburkan sedikit chocolate rice, untuk hiasan juga untuk rasa coklat dalam kek pisang. Terpulang sebenarnya.
Pisang yang boleh diguna untuk membuat kek ini adalah secara asasnya pisang yang juga diguna untuk membuat cekodok pisang, seperti pisang kapas, pisang nangka, pisang berangan dan pisang embun (saya bukanlah tahu sangat mengenal pisang, selalu cuba menghafal namanya, selalu juga lupa).
Mudahkan resepinya? Cubalah!
Comments