Aku mau mendampingi dirimu, Aku mau cintai kekuranganmu
Berdekatan dengan Bintulu Cineplex ada beberapa deret kedai makan untuk orang Islam, dan minggu lepas, sebelum kami menonton Iron Man tiba-tiba terasa mahu cuba makan di sini, dan kerana Zul pun belum pernah cuba, makan kami yakin untuk duduk dan makan. Mee Sapi, atau Mee Daging Lembu, (sapi bermaksud lembu, manok pula adalah ayam). Kami makan Mee Sapi Ahim. Ahim itu nama encik pembuat mee itulah, agaknya.
Encik Ahim sedang menyediakan pesanan mee kami. Tak nampak pula muka.
Mee (seperti mee kolok), sup daging sapi (berkuah kicap, tapi tidaklah masin, cair sedikit), dan sambal cili.
Bila keluar makan di sini, kami tidak meletak harapan tinggi sangat, kerana tidak mahu kecewa. Rasanya? Bolehlah. Rasa daging di dalam kuah kicap yang agak ringan, dan tidak terlalu pekat. Lebih sedap dimakan dengan sambal cili itu. Mujur juga dagingnya lembut, walaupun diberi seketul, dapat juga makan sampai habis. Saya teringat ada sedikit persamaan dengan Vietnamese Beef Noodles Secret Recipe. Sedikit sangatlah samanya, kerana hidangan SR itu sangatlah sedap (untuk versi mee berkuah daginglah).
Oh, ini gambar saya melawat satu lagi mercu tanda Bintulu, Menara Kidurong. Dari atas sana, boleh lihat dengan jelas Loji Minyak dan Gas MLNG (dan Shell). Tidaklah tinggi sangat, cuma menara ini dibina di atas bukit, maka boleh lihat pemandangan sekitar loji. Bandar Bintulu jauh sangat, tidak kelihatanlah dari atas menara. Gambar-gambar lain ada di sini.
Tiada tujuan pun, cuma cerita berkisar jalan-jalan keliling Bintulu. Ambil masa sedikit lah, untuk saya mencintai bandar ini, ya?
Comments