Cencaru, sambal kicap dan pisang
Kelmarin sebenarnya saya masak ikan cencaru resepi yang ini, cuma baru sempat menulisnya di sini. Terinspirasi dari ikan masak terutup yang emak mertua ajar, dan memang sangat digemari Zul, maka saya cuba ubah sedikit-sedikit, ada unsur masakan baba dan nyonya sedikit. Masak terutup biasanya dengan ikan cencaru, dengan rempah cili (dan campuran bumbu lain) ditumis garing, dan disumbat ke dalam ikan cencaru, sebelum digoreng dalam minyak yang berladung. Tetapi kerana saya terkesan dengan kempen makanan sihat Marliza, maka saya memilih untuk membakar saja kali ini.
Mudah, dan lazat. Sesuai jika diganding dengan sup sayur bersuhun dengan kentang dan petola. Tapi kelmarin saya tiada petola, maka dengan sawi saja. Teringat salah satu hidangan di sekolah dulu, ikan cencaru bakar dengan sup sayur pucuk tauhu dan suhun, dengan sambal kicap sekali. Duduk di Johor, tidak boleh tinggal sambal kicap.
Kelmarin juga saya buat pisang goreng, dan mestilah makan dengan sambal kicap. Zul kata, dia tidak boleh bayangkan makan pisang goreng tanpa sambal kicap. Ini bukan sambal kicap yang ada cili potong dalam kicap, tapi versi campuran bawang putih, cili padi yang ditumbuk halus dicampur dalam kicap lemak masin. Dengar kata, orang Muar memang sentiasa ada sambal kicap atas meja makan. Kicap dan simbol kejawaan.
Pisang sebelum goreng, pisang raja.
Oh, ini resepi ikan yang saya beritahu awal tadi. Sudah terpesong ke Muar pula.
Ikan Cencaru Sumbat
1) Kisar bersama bawang putih, bawang merah, sedikit halia, cili (cili kering kisar), secubit belacan dan serai. Masukkan sedikit garam dan gula.
2) Tumis bahan kisar tadi sehingga garing.
2) Tumis bahan kisar tadi sehingga garing.
3) Buat beberapa belahan sisi pada ikan cencaru sesuai untuk proses sumbatan. Pastikan ikan cencaru sudah dibersih dan disianglah, kan.
4) Campurkan pada bahan kisar tadi, hirisan beberapa helai daun limau dan sedikit lengkuas yang dititik. Sumbatkan ke dalam belahan sisi ikan.
5) Jika ada lebihan, boleh diletak atas dan bawah ikan juga. Bungkus dengan kertas timah. Jika ada daun pisang, lebih cemerlang. Lagi wangi.
6) Bakar dalam ketuhar selama 20 minit pada 200 darjah celcius. Jika belum cukup garing, tambah masa tapi jangan sampai hangus pula.
7) Keluarkan, dan sedia untuk dimakan dengan nasi putih panas-panas!
Sebenarnya, versi nyonya peranakan adalah tambahan pada hirisan daun limau dan lengkuas. Jika tidak suka, boleh abaikan dan sumbat saja dengan bahan kisar yang ditumis itu. Juga, jika anda seorang yang suka ikan garing dan berminyak, boleh goreng ikan sumbat tadi, cuma tidak perlu bungkus dengan daun pisang (apatah lagi kertas timah), goreng begitu saja. Akan jadi sedikit berkecahlah dalam kuali nanti. Pandai-pandailah ya. Dulu, saya kalau buat ikan sumbat begini, tidak tumis bahan kisar. Tapi lepas kahwin, Zul cadangkan supaya tumis garing dulu, ternyata memang lebih sedap sebab cili tidak rasa terlalu pedas kerana garing. Cubalah!
Comments