Dalam aku, ada dia, dan dalam dia ada kita, ada semua

Setahun yang lepas, pada tarikh ini, saya masih belum selesai memperindah bilik. Rumah masih penuh meriah dengan makcik dan pakcik dan sepupu sepapat dan keluarga saya, sama-sama sibuk membuat itu dan ini. Setahun yang lepas. 

Tidak banyak rakaman yang sempat diambil. Kalau adapun, gelap dan kabur. Ini ada beberapa buat dikenang dan diturun cerita pada masa tua.

Ketika gotong royong menyiapkan telur pindang dalam sangkar, untuk door gift tetamu. 

Abang, Iji dan Dya yang menguruskan signage jalan dan kepilan terima kasih dan macam-macam lagi.

Menyiapkan halwa maskat untuk hantaran.


Saya akan sedikit beremosi bila mengenang semula waktu gotong royong dan susah payah ramai orang dalam menjayakan hari bahagia saya menjadi sempurna. Jika tidak pun sempurna bagi orang lain, saya sudah menjadi terlalu gembira dan bahagia kerana majlis telah pun selamat, tetamu pun cukup makan dan selesa, tiada apa-apa yang tidak menyenangkan berlaku, dan saya dan suami selamat disatukan penuh bahagia. 

Terharu dan sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat, kerana sejujurnya, saya belum mampu membalas jasa baik semua yang terlibat. Dan sentiasa saya doakan Allah saja yang dapat membalasnya dengan kebaikan juga. 

Kerana, esok, genap setahun kami dinikahkan, dan segala puji dan syukur untuk bahagia yang indah ini.


*Tajuk entri adalah bait lagu Ada, M. Nasir

Comments

Popular Posts