Pasca Debat malam semalam

Saya baru mula berpuasa Rejab minggu ini, jadi selepas makan-makan, jalan-jalan hujung minggu lepas (dan selepas makan kek hari lahir), saya mula puasa.

Hujung minggu lepas di sini sebetulnya ada Bintulu Regatta, sempena 50 tahun ulangtahun Bandar Bintulu. Tapi, tahu tahu sajalah. Kalau ada apa-apa aktiviti menarik (atau tidak) atau ada benda baru di sini, akan berpusu-pusulah semua rakyat jelata dari segenap pelusuk akan memenuhi bandar Bintulu yang kecil dan sempit itu. Rancangan awal kami untuk menyaksi (dan Zul menembak-nembak ambil gambar) jadi tidak kesampaian. Saya harap Pesta Layang-layang Antarabangsa bulan Ogos nanti, kami dapat saksikan. (Harap-harap juga lapangan terbang Bintulu yang lama itu cukup luas untuk orang parkir kereta dan sebagainya).

Oh, macam budak darjah satu pula saya Isnin lepas bila mula puasa. Jadi pengsan dan letih entah apa-apa. Macamlah tak pernah puasa. (Mungkin juga sebab minum air jagung di Tanjung Batu, jadi lemah semacam). Bila puasa, macam-macamlah mengada teringin makan. Karipap la, masak asam rebus lah, itulah, inilah. Bila sudah mengada, pandai-pandailah buat sendiri kan?
Jadi, ini yang sempat saya ambil gambar sebelum berbuka semalam. Mahu resepi kah? Nanti saya update, sebab sekarang saya ada komitmen dengan F.R.I.E.N.D.S.


Jangan ketawakan karipap saya, memang tidak berapa cantik, tapi rasa dulu, ya?

Karipap Kentang

Untuk Inti

1) Tumis bawang merah, bawang putih, halia (semua dikisar halus) dengan serbuk kari (beberapa sudu besar, terpulang kepada berapa banyak kentang), sehingga wangi dan garing.

2) Masukkan daging (yang telah dipotong kecil), dan gaul. Tambah air jika mahu cepat empuk.

3) Masukkan garam dan sedikit gula. Masukkan kentang (yang telah dipotong kiub dan direbus) dan gaul sebati.

4) Bila sudah cukup rasa dan rata sempurna, angkat dan sejukkan.

Untuk Kulit

5) Cairkan marjerin (beberapa sudu besar, bergantung kepada berapa banyak tepung yang terlibat) atau gunakan lemak sayuran (vegetable shortening) dan campurkan ke dalam tepung gandum. Gaul.

6) Apabila sudah rata, masukkan sedikit air garam. Uli hingga lembut. Jika kurang lembut, tambah lagi marjerin, atau air garam. Agak-agak dengan kuantiti.

7) Canaikan bulat, letak inti di dalam dan kelim keliling. Jika ada acuan karipap, lagi mudah. (terutama orang macam saya yang tak pandai kelim cantik).

9) Goreng hingga kekuningan. Jika banyak sangat, boleh simpan beku, dan bila ada orang datang boleh terus goreng tanpa uli dan adun lagi.

Mudah kan? Saya lebih gemar karipap pusing sebenarnya, tapi sebab ia lebih leceh dan banyak kerenah, maka saya buat yang mudah saja. Cubalah!


Ayam masak merah, versi mak mertua.


Ayam masak merah

1) Kisar bersama bawang merah, bawang putih, halia dan serai.
2) Tumis bahan kisar sehingga wangi, masukkan cili kisar (ikut banyak ayam), dan goreng hingga garing. Masukkan garam dan sedikit stok ayam.
3) Masukkan sos tomato (atau tomato puree) dan kemudian ayam. Gaul dan biar hingga ayam empuk.
4) Bila nampak sudah garing dan sebati, dan ayam sudah empuk, masukkan sedikit santan (atau susu cair). Gaul hingga sebati dan betul-betul garing.
5) Masukkan bawang hiris dan kacang pis.
6) Boleh dihidang!

Sebelum ini, versi ayam masak merah saya tiada santan. Boleh dikatakan sambal ayam orang Melaka lah, sebab memang pedas (tapi sedap). Tapi, bagus juga ada banyak-banyak versi, lebih pelbagai, kan?

Mahu lari topik sebentar. Saya fikir, perkembangan selepas pilihanraya lepas sudah makin menampakkan hasil. Kewujudan suara oposisi memang bertujuan untuk memberi cadang dan kritik kepada kerajaan sedia ada. Semuanya untuk kesejahteraan negara. Sekarang saya fikir, terpulang kepada kerajaan sama ada mahu meneruskan ego atau menerima dengan terbuka.

Saya menonton Astro AWANI semalam, dan terus-terus menonton hingga perbincangan selepas debat dan saya memang selalu suka lihat lelaki berani memakai baju warna merah jambu. Tidak relevan kan?

Jadi, ada cadangan untuk iftar petang ini?

Comments

Popular Posts