Siri Llangollen

Hari terakhir berada di Llangollen, sementara menunggu kakak dan abang ipar saya (Kak Long dan Abang Anas) datang menjemput, kami habiskan masa berjalan-jalan sekitar pekan kecil ini.



Di hadapan jalan masuk ke hotel.


Masa saya ambil gambar ini, ada kereta lalu (saya percaya orang tempatan), sambil bunyikan hon dan lambai pada kami. Jelas sekali saya memang orang luar, tapi masyarakat di Wales memang mesra dan ramah. Lebih kurang kalau di Malaysia, masyarakat di kampung yang masih kaya dengan bahasa.


Saya suka, sangat suka cara mereka menanam bunga di luar rumah. Cantiknya!



Nampakkan, lalang tepi bukit pun ada bunga cantik? Kami kagum dengan rumah-rumah atas bukit. Menurut encik teksi, untuk naik ke kawasan atas bukit memang kena berjalan kaki, tiada jalan kereta ke atas. Saya terfikir, bagaimanakah orang yang membina rumah itu membawa bata, simen dan mesin bancuh simen? Sukarnya.


Saya curi ambil gambar depan rumah entah siapa. Cantiknya, geram dengan taman bunga depan rumah. Seperti main campak-campak saja.



Kami ke pekan ikut jalan tepi sungai, boleh nampak pekan kecil dari sini, dekat, boleh jalan kaki.


Jarang-jarang Zul senyum begini dalam gambar. 
Nenek yang tolong ambil gambar buat kelakar.


Banyaknya itik dalam Sungai Dee. Kalau di kampung ayah, sudah kena tangkap buat salai, masuk dalam Masak Lemak Cili Api Daging Itik Salai.



Boleh beli makanan untuk itik di tepi sungai. Budak lelaki itu takut sebenarnya itik banyak sangat. Ada burung merpati sungguh tidak aci tangkap makanan sambil terbang, mentang-mentang itik terkedek-kedek boleh jalan dan berenang saja.



Kami tak beli pun makanan itik, ambil gambar, er, sengih saja.



Cantiknya latarbelakang ada bukit. Sejuk, segar, tenang.


Di tepi sungai itu ada gereja kecil, juga ada banyak bunga cantik .


Nampak nama atas kedai itu? Saya percaya itu nama penuh Llangollen. Panjang sangat!


Di tepi kedai cenderahati.


Ya Allah, bersyukur dan bahagianya bila tiba-tiba terjumpa kedai tandoori. Sudah beberapa hari hanya makan ikan salmon, salad buah, roti, dan telur saja. Jumpa nasi, sedapnya!


Kami makan kari udang, meski agak manis dan tidak pedas, kira bolehlah. Mahu merungut apa lagi, jumpa kari pun sudah cukup bagus. (Waktu itu rindu makanan pedas, masin, masam dan berempah)


Mula-mula ada rancangan mahu naik kereta api wap (Steam Train), tapi terlewat beberapa minit. Makan kari lama sangat lah ni.

Ada poster jenis lama, yang masih dikeluarkan, hand-painting. Cantik, klasik!


Tidak dapat naik kereta api, kami naik Aqueduct melalui canal. Besarkan, kuda yang tarik bot?


Cantiknya, rasa tenang dan bahagia waktu naik bot ini. Rasa macam di Venice pun ada. Cuma kurang pemain biola saja.


Mahu ambil gambar dengan bunga lagi. 




Bahagia lepas naik Aqueduct. Nampak sebahagian rumah di Llangollen dari atas bukit, cantik sangat pemandangan dari atas ini.



Oh, Kak Long sudah sampai! Waktu ini, budak comel dua orang itu masih segan-segan dengan saya.


Ini Nadhirah. Eeee, geramnya.


Kanak-kanak, sudah jumpa taman, tidak boleh sekejap. Ketika itu sudah jam 7 malam, tapi masih terang sebab Maghrib memang lewat waktu musim panas.


Saya dan Zul memang seronok dan bahagia di Llangollen. Saya tidak jangkakan tempat ini begitu cantik, tenang, dan segar. Selain faktor orang-orangnya yang ramah dan masih kaya dengan bahasa. Saya sangat bersyukur punya kesempatan menyaksikan suasana ini di tempat orang. 

Selepas ini, ke Manchester pula (juga Leeds, York dan Liverpool). Selamat berhujung minggu!

Lebih banyak gambar di blog Zul.

Comments

Popular Posts