Cek Mek Molek
Lama sangat rasanya tiada entri makanan. Sebelum saya teruskan dengan entri di Paris lagi, ini ada satu resepi mudah, dan sangat sedap. Antara makanan penghilang stress ketika di universiti (waktu dulu mana ada duit boleh beli aiskrim dan coklat selalu selalu). Kuih ini 3 biji seringgit saja. Oleh kerana memang hampir setiap hari stress, memang hampir tiap-tiap kalilah membeli.
Kuih Cek Mek Molek
1) Rebus ubi keledek (yang warna oren-merah) hingga empuk dan lembut dengan sedikit garam.
2) Toskan airnya, lecekkan hingga hancur. Tambahkan beberapa sudu tepung gandum. Jangan banyak sangat, nanti terlalu keras. Agak-agak hingga boleh dibentuk jadi kuih.
3) Bulat-bulatkan campuran keledek dengan tepung menjadi bebola, kemudian lubangkan sedikit di tengah, dan isikan dengan sedikit gula pasir. Tutup lubang, dan bentukkan jadi panjang (lihat ilustrasi di bawah). Pastikan gula tidak terkeluar.
4) Goreng hingga garing dan angkat. Sedia untuk dihidang!
5) Tapi jangan makan dulu kalau puasa, tunggu berbuka lah, ya?
Bentukkan seperti ini. Panjang lonjong.
Kuih ini berasal dari pantai timur, lihat namanya saja sudah tahu. Tapi kerana ia mudah dan lazat, memang kalau saya nampak keledek di pasar, memang akan beli untuk buat kuih ini. Mudahnya, terlalu! Cubalah!
* Berapa banyak gula juga adalah terpulang pada citarasa masing-masing.
* Jangan tanya saya mengapa bentuknya begitu. Saya kira, orang yang cipta kuih ini mahu pelbagaikan bentuk kuih yang ada di pasaran. Bosanlah jika semua kuih bulat saja, kan?
Comments