Paris: Siri I

Perjalanan ke Paris dari St. Pancras tidaklah lama, lebih kurang dua jam lebih, tak terasa pun sebab kereta api sangat laju. Cuma perlu selalu telan air liur kerana perbezaan tekanan yang selalu berubah-ubah. Saya menunggu-nunggu waktu dalam terowong dalam laut Selat Inggeris, tapi kerana terlalu laju, maka tak dapat merasai betul-betul.

Kami turun di stesen Gare Du Nord, lebih kurang seperti KL Sentral, cuma lebih besar (dan busuk. Bukan busuk bau, tapi kelihatan busuk). Ramainya manusia. Sudahlah kebanyakan signage dan pengumuman dalam bahasa perancis, kami turun terpinga-pinga sepuluh minit.



Kesian Zul kurang sihat. Tambah pening sebab tidak faham bahasa mereka.
Saya? Seronok saja sudah tiba Paris, yeay!




Kami terus ke hotel, memang jalan kaki lima minit saja dari stesen itu, dan saya beli makan malam di seberang jalan hotel dan makan di bilik sebab Zul kurang sihat.


Esoknya, turun saja dari bilik, kami jumpa pasangan Melayu ini, Kamarul dan Ita. Mereka sudah mahu balik ke Sheffield (mereka belajar di sana), dan kerana bukan senang mahu jumpa orang Malaysia, maka ambil gambar depan stesen ini. Kebetulan mereka ada beli tiket bas pelancong (untuk dua hari), dan masih berbaki hari tersebut, dengan baik hati diberi pada kami.




Teruja jumpa orang Malaysia.


Tandas yang sangat mahal di stesen Gare Du Nord. Buang air saja sudah 1 Euro (x5.5=RM5.50 untuk buang air saja?)



Dalam Metro (kereta api bawah tanah). Ada orang pandang serong pada kami (itu, lelaki tepi pintu).


Destinasi pertama , Muzium Louvre (Musée du Louvre), dari luar. Yang bentuk piramid itu pintu masuk ke muzium.

Bagi yang pernah baca atau tonton Da Vinci Code, mesti tahu tentang muzium ini. Muzium yang sangat besar yang menempatkan beribu-ribu lukisan kebanyakannya oleh pelukis terkenal seperti Leo Da Vinci, Picasso, Michaelangelo, dan ramai lagi.


Satu-satunya muzium kami masuk.


Awal-awal sudah jumpa banyak nude sculpture.



Terlalu besar muzium ini. Menurut buku Lonely Planet Paris, jika mahu lihat (sekali imbas) semua pameran lukisan dalam muzium ini, ambil masa sembilan hari untuk selesaikan semuanya. Sembilan hari! Itu belum merenung-renung cuba faham lukisan.



Siling muzium pun sudah penuh seni. Cuba bayangkan lukisan-lukisannya.


Muzium ini mula dibina pada tahun 1190. Secara asasnya, ia menempatkan karya seni terpilih dan bermutu tinggi. Saya fikir, antara pencetus perkembangan seni yang pesat di Eropah adalah kerana kebanyakan artis berlumba-lumba mahu karyanya dipamerkan di sini, kerana taraf prestij yang hebat.

Kami bukan tahu sangat menilai lukisan, apatah lagi orang seni. Maka tujuan utama masuk ke muzium ini pun untuk lihat karya Leo Da Vinci, Mona Lisa itu. Rupa-rupanya semua orang lain pun begitu. Punyalah jauh untuk tiba ke bahagian Mona Lisa ini, bila tiba manusia berpusu-pusu sangat ramai. 


Manusia ramai dalam ruang dewan yang menempatkan Mona Lisa.



Itulah Mona Lisanya. Untuk dapat lihat sedekat ini perlu beratur dan berjalan pantas kerana barisan orang sangat ramai, sudahlah lukisannya kecil saja. Apa yang istimewanya tentang lukisan ini? 


Dalam muzium ini juga ada pameran karya seni dunia Islam, cuma akan dibuka pada 2009. Akan jadi salah satu pameran terpenting dan terbesar di sini.

Selepas Mona Lisa, kami terus keluar dan berkeputusan untuk makan tengahari di Notre Dame.

Di Paris, memang selalu ada pemuzik solo atau berkumpulan seperti ini. Dalam banyak-banyak, saya suka betul dengar bunyi alat yang seperti mesin taip itu. Merdu, macam biola, tapi lebih mengasyikkan. Ini dalam lorong ke stesen Metro.


Sudah tiba di kawasan Notre Dame. Memang banyak kedai makan halal di sini. Selain kebab dan roti-roti, makanan Algerian dan Moroccon pun memang banyak yang halal. Antara masyarakat jajahan awal Perancis yang jadi penduduk tetap di sini.


Kami cuba makan tajine, makanan orang Morocco, seperti beef stew, dengan tambahan kekacang dan buah-buah kering. Sedap! 


Sudah makan, kami ke Cathedral of Notre Dame. Pernah tonton The Hunchback of Notre Dame? Di sinilah asalnya cerita itu. Terletak di pulau kecil di tengah-tengah Sungai Seine, antara gereja gothik terbesar di Paris. Juga adalah pusat kepada kebanyakan tempat menarik di sekelilingnya.



Punyalah hebat kegothikannya. Patung-patung kecil pada bangunan ini dikatakan paderi yang berkhidmat sejak zaman gothik, hingga menempuh Revolusi Perancis, sehingga ditambah-tambah hingga hari ini. 


Saya seronok dapat berdiri tepi Sungai Seine yang seperti romantik itu.


Berdekatan dengan Cathedral of Notre Dame itu, ada kompleks gabungan Palais  de Justice, Conciergerie dan Saint Chapelle


Latarbelakang adalah Sungai Seine dan Paris City Hall.



Oh, kami waktu ini naik bas saja, rasa rugi sebab mahal juga tiket bas (terima kasih pada Kamarul dan Ita), lagipun sudah letih berjalan.


Dari atas bas, Institute of Paris.


Musée d'Orsay


Assemblee Nationale.


La Madeleine.

National Academy of Music.


Arc de Triomphe yang dibina untuk mengingati pahlawan Perang Napolean. Dibina oleh Napolean Bonaparte.


Masih atas bas, pandangan Eiffel Tower dari sisi bawah.



Puas dan seronok juga bersiar-siar dengan bas. Sebelum gelap, kami pulang. Untuk hari esok yang lebih panjang.


Menunggu Metro. Letih.


Ini baru perjalanan hari pertama. Terlalu banyak gambar, saya perlu ceritakan begini. Selain berkongsi, ini satu cara supaya saya dan Zul dapat dokumenkan kisah perjalanan kami di sana. 

Menyusul selepas ini, hari seterusnya di Paris.

Comments

Popular Posts