Lucky to have been where I have been, Lucky to be coming home again

Ffuhhh, fuhh! Berhabuk sangat. Sama macam lantai dan almari rumah saya. Sekarang.


Syukur, semalam selamat jejak kaki semula ke Bintulu, masih sihat dan segar, macam lebih sebulan yang lepas.


Lamanya saya tinggalkan Bintulu. Dan rumah juga.


Maka banyak catching up yang perlu saya lakukan, banyak habuk yang perlu dibersihkan, banyak baju yang perlu dicuci, banyak sawang yang perlu dikebas, banyak gambar dan cerita yang mahu dikongsi, banyak blog perlu saya lawat, banyak emel perlu dibaca, (dan banyak lemak yang perlu disingkir dari badan), dan banyak pinggan perlu saya bilas kalau-kalau ada cicak yang rajin meniti-niti.


Sementara saya membuat itu, saya upload juga dua gambar makanan. Lama benar tiada entri makanan, sejak Ramadhan yang terakhir sekali.


Resepi mudah, kebanyakan orang pun sudah tahu, cuma mungkin masih ada yang belum tahu cara goreng sotong tepung tanpa minyak meletup-letup kena kulit.


Maka inilah.


Sotong goreng tepung.


1) Bersihkan sotong, selawat.

2) Gaulkan dengan putih telur (yang sudah dikembangkan/diketuk hingga berbuih, ikut banyak sotong, jika banyak, guna 2 biji), dan tapis gabungan sotong dengan telur. Langkah ini penting, untuk menyingkir cecair yang memang ada pada sotong. Cecair inilah yang jadi penyebab kalau goreng, meletup-letup minyak.

3) Celup sotong satu-satu ke dalam tepung goreng serbaguna atau campuran tepung beras dengan sedikit garam.

4) Goreng dalam minyak terendam yang panas. Angkat dan toskan minyak bila sudah garing.

5) Hidang dengan sos atau mayonis. Makan!






Sotong goreng tepung, ini yang emak buat, waktu saya di Melaka.



Mudahkan? Tips minyak tidak meletup ini diajar oleh teman serumah waktu di UKM dulu. Maka saya kongsilah di sini, jika masih ada yang belum tahu.




Oh, ini sambal bali. Saya sudah pernah kongsi resepinya di sini. Ini emak juga yang masak, dengan ayam kampung yang ayah bela. Sedap.



Entri resepi buat penghilang habuk blog ini, nanti-nanti bila sudah selesai kerja rumah saya bercerita lagi, ya?



Comments

Popular Posts