There isn't any symbolism. The sea is the sea. The old man is an old man. The boy is a boy and the fish is a fish.

Minggu lepas saya ada jumpa ikan murah, tanya pada orang jual ikan, apakah namanya, mana tahu mungkin saya tahu, cuma tidak kenal. Ikan layang, atau ikan tuna, dia jawab. Eh? Ada ikan tuna dalam Laut China Selatan kah? Setahu saya, ikan tuna hanya ada dalam laut sejuk.


Nampak bentuk seperti ikan kurau, saya belilah. Murah. Sudah dua kali masak, akhirnya saya teringin cuba masakan lain daripada yang biasa saya masak. Jumpa resepi asal di sini, ikan salmon dengan sos putih, maka saya cuba lah. Cuma ini bukan ikan salmon, ikan layang (jika betullah, apa yang diberitahu).


Mudah jugalah, kalau mahu bertukar rasa, boleh cuba. Sesuai untuk ikan berisi kental, dan tebal.







Ikan dengan Sos Putih


1) Potong isi ikan dari tulang, untuk mudahkan isi masak. Gaul ikan dengan sedikit garam, lada sulah, dan perahan lemon (saya tiada lemon pun, guna limau nipis). Goreng dengan minyak sedikit (jangan goreng terendam). Goreng hingga masak, balikkan sekali sekala. Cucuk dengan lidi jika mahu pastikan isi masak, jika dicucuk mudah, maka sudah boleh angkat.

2) Angkat dan toskan ikan.

3) Untuk sos putihnya, tumis bawang putih (4 ulas) dan bawang besar (setengah biji) yang di cincang halus, sehingga wangi, masukkan tepung gandum (1 sudu besar, yang telah dilarutkan dalam 3 sudu air), gaulkan dalam kuali hingga bawang melekat pada tepung, kemudian masukkan susu (1 cawan), dan kacau semua hingga homogenus.

4) Bila nampak hampir mendidih, masukkan garam, lada sulah (atau lada hitam), serbuk oregano, dan rasa. Jika sudah cukup rasa, padamkan api, masukkan sos ke dalam pengisar dan kisar halus hingga kelihatan berkrim.

5) Keluarkan dari pengisar dan didihkan sebentar hingga pekat. Taburkan dengan daun parsley, dan boleh dihidang/disiram ke atas ikan.

6) Sedia untuk dimakan!






Boleh tahan sedap jugalah, cuma tengah-tengah makan terasa mahu sesuatu yang pedas. Lidah melayu, kalau makan nasi rasa pelik tanpa sedikit pedas.


Oh, saya bukan ada daun parsley pun, yang hijau dalam gambar itu sebetulnya daun ulam raja, saya cincang halus. Mahu sedikit kontras dalam keputihan nasi dan ikan dan sos. Selain mahu ulam sebagai sayur, sudah tentu lah.


Cubalah. Mana tahu sesuai dengan tekak. Saya kira, selain ikan salmon (yang sangat mahal di sini), boleh cuba ikan dory, atau ikan makerel, atau tenggiri pun mungkin boleh.


Selamat memasak!




Tajuk entri adalah kata-kata Ernest Hemingway, sedikit petikan daripada keseluruhan : There isn't any symbolism. The sea is the sea. The old man is an old man. The boy is a boy and the fish is a fish.The shark are all sharks no better and no worse. All the symbolism that people say is shit. What goes beyond is what you see beyond when you know.”

Comments

Popular Posts