Mee Rebus Tulang itulah

Banyak aktiviti balik semenanjung sebenarnya, tapi, macam biasalah, pantang ada dengar cadangan tempat makan, mesti laju untuk cuba. Macamlah setahun sekali balik semenanjung, kan. Bila balik Bintulu semula, konon-konon berusaha untuk joging lah, aerobik lah.

Itu bebelan untuk saya (dan, ehem, Zul). 

Ini cerita tentang gambar makanan yang saya pos, semalam. Kami makan mee rebus tulang dekat Restoran ZZ yang sungguh masyhur itu. Sebetulnya, tiap-tiap kali lalu depan kedai ini (ada dua-tiga cawangan di JB) mee rebus yang sedap ini akan diperkatakan sama ada oleh emak (mertua), atau Zul sendiri. Tapi tidak pernahnya makan. Cuma pernah sekali minum teh tarik selepas hantar kereta rumah En. Aziz (bapa saudara Marliza, saudagar perkapalan) yang memang sangat dekat dengan kedai makan ini. 

Masa tidak ada kerja duduk-duduk tengok TV tunggu Zul pulang kursus/kerja di hotel (baru-baru ini), saya belek-beleklah Yellow Pages versi Tourist Guide (kan sudah beritahu, saya tiada kerja), saya terbaca tentang restoran ini, dan mee rebusnya, di bawah kategori negeri Johor. Kemudian, ketika masuk Harris kedai buku, saya belek lagi buku The Star Guide Malaysia Street Food, terjumpa lagi nama mee rebus ini disebut. 

Ketika jumpa abang, sebelum menumpang duduk rumahnya, juga beliau ceritakan tentang keenakan dan cubaannya untuk memesan dua pinggan mee rebus, sebab tidak puas mengecap kemanisan tulang dalam sepinggan saja. 

Cerita-cerita dan ilusi ini mengganggu saya, dan syukur, akhirnya Zul bawa saya untuk makan mee rebus ini. Terlalu dekatlah, dengan rumah emak Marliza, jalan kaki pun boleh. Sedapnya, saya makan sepinggan setengah. Bukan niat saya, tapi sebab mahu tolong Zul. Dia pesan tambah sepinggan lagi, rupa-rupanya tak larat habiskan seorang. Saya tolong saja. Tapi sebetulnya meenya tidaklah banyak, cuma tulang lembu itu saja nampak besar. Oh, straw yang kelihatan itu, untuk menghirup isi sum-sum yang lembut, dalam kerangka tulang. Sedap. Sangat.



Zul. Dan saya, yang kelihatan tidak mampu menyembunyikan seronok. Dapat juga makan mee rebus tulang ZZ.


Emak dan ayah, sedang juga menanti. Sebenarnya tidak lama sangat menunggu, cuma sudah lapar, memang simpan perut untuk mee rebus.


Here's the winner. Sedap!


Sesiapa yang akan ke sana atau sudah di Johor Bahru itu, silalah mencuba! Mahal sedikitlah, tapi berbaloi!


p/s: Kedai makan ini juga ada jual lain-lain makanan tipikal orang Johor seperti Soto, Laksa Johor, Roti Jala, dan lain-lain. Oh, juga ada Sup Gear Box!




Comments

Popular Posts