Dalam awan, ada hujan, dan dalam hujan ada lautan
1) Kadang-kadang boleh jadi serba salah juga kalau mahu basuh baju awal-awal pagi, atau mahu mula rendam kain alas kaki, sebab kalau rendam awal-awal, kemudian hujan di tengahari, maka datang dilema lain, mahu sidai sekarang atau petang atau tunggu esok saja bila cerah sikit. Oh, mana boleh rendam kain lama-lama, atau sidai baju lambat, nanti banyak bakteria jadi busuk lah semua benda dalam rendaman. Tapi macamana kalau mendung awal pagi itu tipu tipu saja, kemudian cerah cemerlang di tengahari sampai petang? Bukankah rugi cahaya matahari yang panas itu? Barulah saya faham perasaan Kak Long, bila dia menyatakan gembira bila ada matahari panas, waktu saya melawat mereka tempoh hari; "Look Najah, there's sunshine!". Waktu itu saya gelakkan saja dia, dan berkata-kata dalam hati "Kelakarlah Kak Long ni, macamlah tak pernah ada matahari". Sekarang saya sudah faham.
2) Kadang-kadang pening juga mahu fikir hendak masak apa hari ini. Sudahlah pengetahuan saya tentang kepelbagaian masakan cetek, lauk yang ada pun kadang-kadang membosankan. Hari semalam sudah masak kari, kemudian asam pedas, kemudian lagi sambal, kemudian masak kicap, konon-konon cuba jadi kreatif tapi tak jadi. Konon-konon tak mahu makan nasi lagi, tapi bila cuba makan lain, mesti jadi rindu pada nasi dan sambal dan ikan goreng. Tengahari tadi saya cuba buat ikan tiga rasa, tapi menurut Zul, walaupun sedap, dia tidak mahu mengaku itu tiga rasa. Apa yang tiga rasa sebenarnya? Entah, dua-dua pun tak tahu.
3) Kami sudah selesaikan maraton Prison Break semalam. Bermula Season 1 sampai Season 4. Tapi season 4 belum selesai lagi. Belum keluar lagi dalam DVD. Yang kami tengok itupun DVD pinjam. Lama bermaraton, dah tengok sekejap, tiba-tiba ngantuk, pause, kemudian sambung lagi. Memang kembang kuncup jantung saya mengepam adrenalin tiap-tiap kali ada adegan suspens, memang setiap masa lah, pendek cerita. Zul kata, tengok Heroes lagi seronok agaknya, tak perlulah berdebar sangat. Si Scofield itu, sekejap masuk penjara, sekejap keluar, kemudian cari pasal lagi masuk lagi, bila sudah selamat keluar, ada misi mahu curi Scylla pula, lepas itu mahu tolong semua orang dalam dunia lagi, mentang-mentang bijak dan bermata tajam. Ada satu hari saya mimpi saya terlibat dalam perlarian Scofield. Kira saya salah seorang orang yang ikut kumpulan dia lah, tiba-tiba sempat pulak mandi dalam kolam air terjun. Zul pun ada sekali. Tiba-tiba kena kejut, Subuh, bangun-bangun! Intense. Letih juga berdebar.
4) Semut rumah saya ini makin mengganas lah, pada hemat saya. Semalam mereka cuba buat sarang atas bekas biskut, bawah bekas krimer, saya susun bertenggek. Wah, cekap dan cemerlang buat kerja tanpa pengetahuan saya, padahal tiap-tiap hari saya ada di dapur. Mula-mula saya fikir, ini musim hujan, mungkin semut-semut ini kesejukan. Tak mengapalah, bagi masuk dalam rumah, kesian masyarakat semut ini sejuk. Zul pun kata, tak payahlah sembur Ridsect, semut ni nak lalu je. Punyalah bersangka baik, rupa-rupanya ada agenda tersembunyi sekalian tentera semut ini. Saya tak sembur Ridsect pun, saya guna kapur semut. Kurang penyemburan aerosol, ozon terpelihara. Oh, kapur itu saya beli di pasar malam. Emak saya beli sebenarnya. Tapi pasar malam selalu ada orang jual, alah, orang yang jual racun serangga, tikus, dan lipas itu. Tapi tengoklah pasar malam mana. Pasar malam Bintulu saya tak pasti. Pasar Malam Ayer Molek dan Bangi mungkin ada.
5) Oh, saya juga sedang berperang dengan encik cicak. Dendam ini sudah lama. Tapi tidaklah sampai saya tembak cicak itu guna lastik. Mungkin dendam saya tidak sekesumat dendam adik lelaki saya yang memang pantang nampak cicak. Menurut dia, Eh, Kak Ain, bunuh cicak itu kan sunat, cicak kan bunyi-bunyi masa Nabi dalam gua Hira'? Eh betul juga. tapi saya tak beranilah. Paling teruk pun saya mengadu-adu dan marah-marah saja. Di rumah ini, masyarakat cicak telah menanda beberapa teritori sebagai jamban mereka. Antara tempat yang terlibat adalah di sepanjang pintu stor kecil, di sepanjang pintu bilik sebelah stor kecil, di windshield kereta Zul yang terletak betul-betul di bawah lampu garaj, dan di bawah rel langsir di belakang tv. Bayangkan waktu saya menyapu dan mengemop? Sudahlah saya ada perasaan takut tidak bersih, ada najis pada penyapu, kena basuh penyapu tiap-tiap kali lepas menyapu. Hai, bersabar sajalah.
6) Saya rasa Fedtri Yahya itu sudah lebih tahap jadi pengacara MHI. Suruhlah dia jadi orang yang lebih penting. Dengarlah bahasa-bahasa yang dia guna pagi-pagi. Dato Fadzilah Kamsah pun tahu, ini bahasa Fedtri.
Eh, masih baca repekan saya? Kagum saya anda masih setia. Saya kadang-kadang saja begini. Bila rasa mahu menulis, saya tulis entah apa-apa. Bukan salah saya, bukankah saya sudah beri amaran awal-awal?
Comments