Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti

Kenapalah saya lambat sangat  tulis entri baru? Mungkin sebab banyak sangat gambar, rasa serba salah mahu dulukan yang mana. Tapi rasa rimas dengan entri tak bertukar. Jadi sementara pilih dan edit gambar Dya, saya mahu update dengan resepi mudah ini. 

Lamanya kan, tak tulis resepi? Ini resepi Pengat Pisang Pindang, emak saya ajar. Mudahnya terlalu. Kalau ada pisang, mahu buat pencuci mulut untuk tetamu, tapi tak banyak masa untuk bakar kek atau buat lepat, buatlah pengat. Saya kurang suka pengat dengan santan, mungkin lebih suka kesucian pisang terpelihara hanya dalam air gula melaka.

Caranya.

1) Potong kecil serong-serong dan kupas kulit pisang, siapalah yang mahu makan pisang dengan kulit sekali kan? Ketuk gula melaka hingga jadi ketul-ketul kecil untuk mudahkannya cair. Berapa banyak, terpulang pada berapa banyak pisang yang mahu dilibatkan. Agak-agaklah, kata orang lama. Biar tawar, boleh tambah gula. Tapi kalau manis boleh tambah air. Fleksibel. Masukkan kedua-dua pisang dan gula ke dalam periuk dengan daun pandan beberapa helai.

2) Didihkan sebentar, hingga kesemua gula yang berketul larut, gaul-gaulkan rata.

3) Masukkan air, hingga melepasi pisang dan gula. Jika ramai, buatlah cair, tambah lebih banyak air. Saya lebih suka cair, boleh makan dengan roti. Cicah. 

4) Bila mendidih, rasa. Kalau terlalu manis, tambah air, kalau tawar, tambah sedikit gula pasir. Selesai, sedia untuk dihidang!

Sebelum masak. Ketul-ketul gula melaka memang nampak menyelerakan, kan? Tiba-tiba teringat cendol.

Bila semua gula sudah larut, boleh tambahkan air.

Sedia untuk dinikmati. Boleh cicah dengan roti, atau hirup kosong. Tapi lazat dimakan panas-panas.

Mudahkan? Cubalah buat. Ini antara makanan berpisang yang saya paling gemari. Cepat, dan mudah.

Selamat mencuba!

p/s: Boleh guna sebarang pisang yang boleh digoreng. Pisang emas tak bolehlah. Tajuk atas itu saja mahu mencuri perhatian.

Comments

Popular Posts