Bila dua hati dah terjalin, Selamatlah pengantin kami doakan, Moga redha Allah bersinar selalu, Tanda bermula bahtera hidup
Adik saya, Dya sudah selesai berbulan madu, sudah kembali semula ke tanahair, saya masih belum belum upload dan tulis entri majlis kahwin dia. Saya sudah beritahu, selain sebab suka bertangguh, gambar terlalu banyak. Maka dengan majik Photoscape semalam saya sudahkan resizing dan compiling semua gambar dalam kolaj. Pantas ya rabbi. Walaupun saya suka guna Photoshop, tetapi untuk tujuan bukan komersil dan hanya untuk blog dan cerita dari hati ke hati begini, Photoscape memang memudahkan.
Ada lima kolaj, saya ceritakan yang penting dan dalam bentuk point, ya?
Petang beletak dan malam sanggul lintang.
1) Ini malam sebelum majlis nikah. Jika mahu ikut adat orang Melaka, ada malam berinai penuh untuk waktu sebelum nikah. Tapi, kami sudah tidak mahu mengikut adat begitu kerana prinsip agama. Tetapi ini hajat emak, mahu anak perempuannya menggaya sanggul lintang untuk ambil gambar, dalam ramai-ramai keluarga terdekat yang sedang menolong-nolong persediaan terakhir sebelum majlis.
2) Mengapa Dya seorang yang buat begini? Oh, jangan tanya emak saya. Emak sudah mesti suruh Kak Long dan saya memakai sanggul lintang, tapi Kak Long tak mahu, dan saya (yang suka degil ini) mestilah juga tidak mahu. Dya adik saya berhati lembut dan kasihankan hajat emak tidak tercapai, maka dia turutkan. Semakin kukuh pendapat saya bahawa, majlis kahwin anak perempuan sebetulnya mungkin berasas daripada impian ibu yang tak tercapai sewaktu perkahwinannya. Saya doa dalam hati, semoga saya tidak mengimpi yang bukan-bukan waktu anak saya kahwin nanti. Amiin.
3) Konon-konon mahu tulis bentuk point, tapi macam karangan juga. Haha!
4) Zul pertama kali ambil gambar pengantin perempuan seorang tanpa pengantin lelaki. Maka sedikit buntu waktu awal-awal. Tapi lama-lama bila pengantin pun sudah selesa, makin mudahlah. Mujur juga ada ramai kawan-kawan Dya yang sporting dan girang ceria, sangat membantu.
1) Majlis nikah, pada pagi Sabtu 7 haribulan. Alhamdulillah, selepas lebih tujuh kali cubaan lafaz, Dya dan Chad sah sebagai suami dan isteri. Bukan Chad yang tersilap. Tapi ayah.
2) Kami sekeluarga lupa betul fakta bahawa mata ayah sudah rosak teruk akibat diabetes. Dan darah tinggi. Kasihan betul ayah. Bila sudah lepas tiga kali masih belum lepas lafaz nikah, kami yang menunggu sudah berdebar dan doa banyak banyak supaya selesai dengan mudah.
3) Ada jiran saya siap suruh tukar wali waktu itu juga, suruh abang yang nikahkan. Tapi dia cadangkan pada saya, apa saya boleh buat. Saya bukan di ruang nikah, saya di kawasan antara dapur. Ayah, sudah selesai nikahkan dua orang anak perempuannya (Kak Long dan saya). Mestilah sudah hafal lafaz yang sebetulnya, tapi masalahnya emak terlupa ingatkan ayah nama betul Chad adalah Shazly Zhafry Ahmad Khairi. Ayah pula sudah terbiasa panggil Chad. Maka terbelit-belit lidah ayah mahu sebut nama bakal menantunya.
4) Tapi syukur, walaupun sukar, dan penuh debar, dapat juga lafaz yang betul. Semua orang lega.
5) Mujur juga imam jurunikah sangat ceria dan kelihatan tenang hari itu. Mungkin juga kerana dia bakal menerima cincin tanda dari bakal besannya selepas itu. Siap berpantun-pantun.
6) Yang bagusnya, Chad boleh tahan hebat berpantun spontan. Gambar sebelum beri mas kahwin, Chad jual pantun pada Dya
"Kalau sudi katakan sudi,
Tidaklah hamba ternanti-nanti"
7) Dya yang gelabah dan jawab "..err sudi". Orang Penang pandai pantun, orang Melaka pula segan nak jawab. Haha.
Majlis resepsi.
1) Majlis resepsi, selepas Zuhur, hari yang sama. Pertama kali kami guna khidmat katerer, maka ringan dan kurang letih berbanding jika masak sendiri dan gotong-royong.
2) Pertama kali berlaku, ada dua kumpulan kompang datang merai pengantin. Punyalah kelakar. Satu kumpulan mengompang pengantin lelaki berarak, lagi satu kumpulan mengompang pengantin perempuan dari rumah. Selepas itu, masing-masing lawan kumpulan siapa paling hebat, siapa punya lagu lebih menarik. Hai, sudahlah. Ini berlaku sebab ada silap faham dengan kompang yang ayah sudah sediakan, dengan kompang pihak katerer.
3) Selesai makan beradab, potong kek, dan layan tetamu.
4) Oh, lupa. Pertama kali juga saya membantu Zul ambil gambar, sambil berbaju kurung. Letih juga. Tapi seronok. (Nota kepada abang: lain kali boleh bagi pinjam lagi D50 eh?)
Mesyuarat keluarga dan sessi buka hadiah.
1) Mesyuarat keluarga selepas resepsi, memang sudah lama kami budayakan dalam keluarga. Tujuannya untuk mengenalkan setiap orang kepada pengantin baru. Walaupun bukan semua hadir, tapi keluarga emak saya ramai, aktiviti ini saya fikir perlu diwajibkan.
2) Emak saya ada 18 orang adik beradik, maka saya ada 36 orang pakcik dan makcik, dan saya sudah hilang kiraan berapa sepupu saya ada dan akan ada. Itu belum kira anak buah (anak sepupu), ada yang terlupa nama.
3) Ayah saya terlalu bersemangat malam ini. Mungkin sebab sudah lama tidak mengajar depan anak murid, atau sudah lama tidak bermesyuarat dengan cikgu, atau mungkin juga sebab tidak makan ubat darah tinggi. (Oh, bila makan ubat darah tinggi, ayah saya jadi lemah dan sungguh letih, kasihan ayah).
4) Keluar semula semua kekelakaran ayah malam itu, semua orang kena, terutama Pak Ya, Pak Dul dan Pak Andak. Saya sakit perut ketawa.
5) Selepas itu, pengantin buka hadiah.
Outdoor photoshoot, di Banda Hilir.
1) Outdoor photoshoot Dya dan Chad kami lakukan pada Ahad selepas majlis. Kerana terlalu letih, pengantin tertidur dan terlewat ke butik pengantin untuk make up dan bersiap.
2) Mula ambil gambar pukul 6.30. Maka tidak dapat ambil gambar banyak dan tidak dapat memaksimakan lokasi hebat di Banda Hilir. Tapi tak mengapa, pengantin pandai bergaya dan ahem, Zul itu cemerlang. (Mestilah kena puji suami sendiri. Kalau bukan saya siapa lagi, kan?)
Selesai majlis, syukur sebanyak-banyaknya pada Tuhan. Terima kasih pada yang datang, atau yang mendoakan dari jauh. Kami sangat bersyukur dan sangat menghargai punya saudara mara yang ramai, bila tiba kudrat emak dan ayah bukan seperti dulu, memang banyak bantuan yang kami perlukan.
Saya doakan perkahwinan Dya dan Chad diberkatiNya, dan kekal bahagia di sini hingga di akhirat sana. Tiada yang lebih membahagiakan selain melihat saudara sedarah sendiri bahagia. Sayangnya keluarga Kak Long jauh di seberang benua tidak dapat bersama menyaksi hari bahagia mereka.
Ayah saya sempat berkelakar, mahu menghafal nama kawan lelaki adik perempuan bongsu saya Huda, bermula dari sekarang. Tidak mahu mengulang silap banyak kali lafaz nikah nanti.
Akhirnya selesai. Lega.
p/s: Pengajarannya, jika anda seorang yang berpotensi genetik menghidap diabetes, sila kawal pengambilan gula dari sekarang. Menyesal kemudian apalah gunanya. Saya beri amaran pada diri sendiri juga.
p/s 2: Gambar-gambar lain ada di facebook.
Comments