Catatan seorang yang lapar di tengah malam
Resepi
Rindunya mahu tulis tulis kongsi kongsi resepi. Bukan tiada gambar, atau masakan yang wajar dikongsi, entah kenapa bila tiba mahu tulis entri resepi, saya jadi pemalas benar. Syuh, syuh jauhlah syaitan pemalas ini dari saya.
Teh bunga
Gambar atas ini adalah sebenarnya diambil waktu teh bunga sedang dilarutkan. Nampakkan, warna merah sedang melarut cantik dalam molekul laju air panas. Cantiknya. Teh bunga ini Nizar dan Ayu yang beri, waktu Nizar ke Jerman tempoh hari. Terima kasih Nizar dan Ayu. Sedap juga teh ini, manis dan masam-masam sedikit. Oh, teko ini. Teko comel sangat. Datang dengan dua cawan teh comel. Memang sengaja beli dua. Untuk kami berdua minum berdua-duaan. Bercinta di petang hari.
Miri, Brunei dan Borneo
Esok hari cuti di Bintulu, er, Sarawak sebetulnya. Good Friday. Dalam agama mereka lah. Dalam agama Islam, setiap Jumaat memang hari yang baik. Hari yang baik untuk potong kuku, untuk mandi sunat hari Jumaat, untuk bersedekah, untuk macam-macam amalan sunat. Tapi esok kami akan ke Miri. Ada sukan-sukan YEC. Macam biasa, saya suka untuk menyibuk. Saja suka-suka. Selepas hari esok, kalau ada rezeki mungkin saya dan Zul akan ke Brunei. Sementara pasport masih boleh pakai. Rugilah bayar mahal. Saya buat pasport saya di Kajang, waktu itu Mieyn baik hati temankan. Ya Rabbi, satu hari suntuk habiskan masa beratur. Terima kasih Mieyn.
Oh, ke Brunei saja jalan-jalan. Selain Miri dan Bintulu, saya memang belum jejak bumi Borneo yang lain. Kuching pun belum. Sikit-sikitlah. Nanti sudah selesai pusingan bumi Borneo bertuah ini, saya mahu tulis bukulah. Konon-konon. Buku catatan saja.
Alligator Steak
Tadi saya baru lepas tonton Chef at Home. Tiba-tiba jadi lapar tidak semena-mena. Mr. Smith itu ajar buat Alligator Steak, bukan dari alligator pun, tapi ayam, salut dengan cornflakes. Bakar. Saya jadi lapar.
Futsal
Zul main futsal, belum pulang. Kejap lagi pulanglah. Saya masih lapar. Sungguh tidak relevan. Bukan Zul akan pulang dan bawa roti nan dan ayam tandoori pun. Di Bintulu mana ada ayam tandoori. Di Bangi ada lah. Sabar-sabar. Sarapan lagi tujuh jam.
Saya tiru gaya tulis Ayuni. Saya harap dia tidak marah. Kemas juga tulis begini.
Selamat berhujung minggu semua. Doakan perjalanan kami selamat.
Comments