Ikan Sebelah dengan Sos Kuning

Sudah selalu sangat beli ikan sebelah, kali ini baru rasa mahu kongsi resepi. Selalu-selalu akan masak tiga rasa atau masak ikan masam manis, tapi tak pernah ambil gambar. Sebab versi yang rendah diri (tiada nenas, tiada kacang pis hijau, tiada daun parsli buat hias-hias). 

Ini juga versi rendah diri. Tapi sebab saya cipta (baca: pandai-pandai reka padahal main hentam keromo) maka saya namakan Ikan Sebelah dengan Sos Kuning Puan Ayin Kita. Haha. Tadi bukan main versi rendah diri lah, apa lah. Tiba-tiba Puan Ayin, apakah?

Ini lah rupa ikan sebelah. Sebenarnya ada dua spesis ikan sebelah, satu lagi bukan nama ikan sebelah (sila rujuk carta ikan terbitan Jabatan Perikanan), tapi sebab saya lupa nama sebenar dia, dan rupa macam adik beradik, maka bolehlah. Senang sangat mahu camkan. Satu belah badan warna kelabu hitam, sebelah lagi putih. Dua-dua bersisik.  Kemudian mata beliau kedua-duanya berada pada bahagian kelabu hitam badannya. Jangan malu untuk terbalikkan ikan jika di pasar. Nanti boleh basuh tangan kemudian. Semua orang jual ikan ada tempat basuh tangan. Dan jangan malu untuk tanya nama ikan. Walaupun sudah 10 kali tanya masih tak ingat. Itu cerita lain. Saya sudah tersasar. Maaf.

Baiklah saudara saudari, senang sangat buat masakan ini. 

1) Goreng ikan yang sudah dikunyit garam (selepas dibersihkan), sehingga garing. Saya buat eksperimen, goreng ikan yang dikunyit, digaram dan diasam jawakan, adalah mengurangkan potensi ikan melekat di kuali. Tak perlu banyak, sikit saja buat lulur seluruh badan ikan. Jadi harum juga seluruh rumah. Bukan harum macam pewangi lah, ini harum dengan bau masakan.

2) Sudah garing, angkat dan ketepikan. 

3) Kisar bersama bawang merah, bawang putih, serai (sebatang), kunyit, cili api, garam, dengan air asam jawa, dan sedikit santan. Agak-agaklah bilangan masing-masing. Saya gunakan 3 biji cili api, dua sudu besar santan, dan sebatang serai untuk dua ekor ikan sebelah. 

4) Kemudian didihkan, sehingga kering sedikit (hilang rasa mentah bawang dan cili), kemudian masukkan gula dan taburkan sedikit stok ikan bilis

5) Sebelum tutup api, masukkan tomato (dipotong kiub) dan daun parsli. Selesai dan sedia untuk disiram atas ikan tadi dan dimakan dengan nasi panas!

Ini rupa selepas disiram. Lulur asam jawa, kemudian siram. Kemudian makan.

Pandangan lain. Ikan Sebelah dengan Sos Kuning.

Ada sedikit sama dengan masak percik. Cuma kuahnya tidak sepekat dan semanis kuah percik. Bolehlah. Tukar-tukar rasa kalau sudah bosan buat tiga rasa dan masak masam manis. 

Saya dan Zul sekarang terlebih suka dengan ikan sebelah, berbanding ikan kerapu, contohnya. Isinya lebih lembut, lebih manis dan tulangnya agak pemaaf, tidak terlalu tajam jika tertelan. Seperti versi ikan bawal, tetapi lebih nipis. Memandangkan harganya agak murah di sini, memang selalulah saya beli. Sudah bosan makan ikan tenggiri papan, atau ikan pari, atau ikan merah, bolehlah beli ikan sebelah selang dua minggu. Jika ada musim. 

Lega. Entri resepi yang muncul bagai bulan purnama.

Cubalah, saya tidak patenkan pun resepi ini. 

Comments

Rose said…
nampak menarik dan sedap.. saya pasti mencubanya..:) terima kasih berkongsi resepi.

Popular Posts