Life is uncertain. Eat dessert first

Saya rasa tak sabar mahu kongsi resepi super-mudah ini. Walaupun baru update blog semalam. 

Kami buat waktu saya pulang Melaka tempoh hari. Kan saya sudah beritahu, kalau balik Melaka memang banyak aktiviti makan-makan, selain sebab banyak alat (yang saya tak tahan mahu gunakan), juga lebih seronok buat ramai-ramai, dan mestilah, makan ramai-ramai memang bertambah-tambah-tambah selera lah. Kan.

Emak kata, resepi ini diambil waktu buat makan-makan di rumah Kak Long. Saya tak pasti dari siapa, mungkin Kak Lin. Jika bukan, bagi yang murah hati berkongsi resepi ini, terima kasih banyak-banyak. Moga pahala ilmu ini Allah berkati.

Senang sangat. Salad Buah Berkrim, atau Creamy Fruit Salad.

1) Pukul (whisk) krim hingga kembang. Jangan terlebih pukul, nanti mengental pula krim, jadi tak cantik. (Kami guna separuh kotak kecil heavy cream, emak kata sepatutnya guna double cream, tapi di Malaysia ini ada krim pun sudah cukup bersyukur).


2) Masukkan yogurt asli (tanpa perasa, ada banyak dijual di pasaraya besar. Kalau mahu buat banyak, beli yang besar, kalau tidak, kecil pun cukup). Gaul dengan krim tadi.

3) Masukkan susu segar. Kalau sedang berdiet, tak perlulah makan. Eh, silap. Kalau mahu berdiet gunalah susu rendah lemak. Tapi pada hemat saya, apalah gunanya. Sudah guna krim bukan main berkalori tinggi lagi tadi, konon-konon mahu rasa bersalah guna susu rendah lemak? Kalau mahu makan, makan saja. Nanti daftarkan diri di Fitness First. Boleh kurus dan sihat walaupun makan bukan-bukan. Kan, abang? (Ini gurauan dalaman = inside joke adik beradik).

Mahu letak banyak atau sedikit, terpulang kepada buah yang akan digunakan. Dan berapa ramai yang akan makan. Kami guna sebotol besar 500ml.


4) Kemudian masukkan buah-buahan segar atau dalam tin yang sudah dipotong kecil (bite-size), di sini sila gunakan kreativiti, atau lebih penting, ikutlah keadaan kewangan keluarga. Masukkan buah-buah yang wajar seperti epal, anggur, laici, mata kucing, tembikai susu atau oren. Jangan masukkan durianlah, ya. Durian itu dominan sungguh sifatnya. Kasihan buah-buahan lain nanti jadi macam timun (Peribahasa durian dengan timun, apa ya? Saya lupa).

5) Kemudian sejukkan dalam peti sejuk. 


6) Kemudian hidang. Subhanallah, lazatnya tak terperi. Mudah dan lazat. Saya makan secawan setengah. Terima kasih emak sebab ajar buat salad buah ini.

Saya jumpa ada variasi resepi salad buah di sini, di sini dan di sini. Pendek kata, banyaklah. Cubalah!

Comments

Popular Posts