Imitation is the best form of flattery
Musim-musim hujan begini, tiba-tiba saya teringin sesuatu yang bersup dan dalam mangkuk. Dalam mangkuk? Maksudnya boleh dihirup. Niat asal mahu buat bihun sup. Kemudian terus teringat bubur lambuk. Tapi secara jujur, ini langsung tidak sama dengan resepi bubur lambuk. Bubur asyura juga bukan (banyak betul bahan-bahan untuk bubur asyura. Tak mampu lah saya buat dalam masa singkat). Bila Zul tanya, apakah tajuk kepada bubur ini, saya jawab Bubur Nasi Cik Ain Kita. Haha. Janganlah serius. Dalam ertikata lain, saya main campak-campak saja bahan untuk buat ini, ikut bahan yang ada di dapur.
Mahu cuba, silakan.
1) Masak nasi seperti biasa dan tambah sedikit garam, lebihkan air tiga kali ganda daripada sukatan beras, dan tambah air sehingga bubur jadi lembut. Padam api.
2) Sambil masak bubur, renehkan ayam (beberapa potong, saya gunakan 5 ketul saja) dalam air (asalkan melebihi paras ayam), dengan bunga lawang, biji pelaga, bunga cengkih dan kulit kayu manis. Masukkan lobak merah (yang dipotong bulat) dan bawang besar. Bila sudah empuk, masukkan garam. Jika kurang yakin dengan rasa ayam, mahu tambahkan kiub ayam pun boleh.
3) Tapis air renehan ayam, masukkan dalam bubur yang sudah lembut.
4) Potong kecil ayam yang telah direneh, supaya tidaklah terkejut jika makan bubur ada seketul ayam dengan tulang-tulangnya sekali masuk mulut.
5) Selesai, tambah sedikit santan, dan biar mendidih. Lengkapkan rasa bubur dengan garam, jika masih tawar. Kacau bubur, jangan sampai pecah santan, nanti tidak senonoh pula bubur itu kelihatan.
6) Hidangkan, dengan sambal kicap (tumbuk cili api dengan bawang putih dan tambah kicap), bawang goreng, ikan bilis goreng dan daun parsli.
Kadang-kadang, bubur begini memang jadi penyelamat, bila sudah habis idea mahu masak lauk apa. Mudah, cepat, dan muai. Lazat itu kira bonus lah, bergantung kepada audiens.
Silalah cuba. Andaikata tiba-tiba kepingin bubur nasi.
Oh, tajuk itu tiada kaitan. Cuma mahu imitate bubur asyura dan bubur lambuk, cuma versi saya. Janganlah Ahli Persatuan Bubur Lambuk Kampung Baru marah kerana rosakkan resipi asal.
Comments