Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahman:13)

Rumput. Dan bau rumput selepas dipotong.

Saya rasa aktiviti potong rumput itu adalah sangat terapeutik. Terutama apabila rumput sangat panjang sudah seperti  mini hutan depan rumah. Dan belakang rumah sudah ada bibit-bibit pembiakan tikus. Sejak kecil, bila tengok ayah potong rumput, saya teringin cuba, tapi mestilah ayah tak bagi. Tapi impian saya tercapai juga akhirnya, awal tahun ini saya dapat potong rumput. (Potong rumput guna mesinlah, takkan guna sabit pula). Nampak macam senang. Tapi ya rabbi, susah juga sebab tidak biasa. Waktu itu ayah baru lepas pembedahan mata, tidak boleh buat kerja berat. Lelaki dewasa lain juga tiada waktu itu. Maka saya dengan senang hati menawarkan diri. Itu cerita lama. Dua tiga hari selepas itu, tangan menggigil-gigil. Haha. Kalau ada mesin rumput untuk wanita, kan bagus. 

Oh, lega sungguh rumput rumah kami selamat dipotong. Walaupun ada sesi small-talk dengan encik pemotong rumput, yang saya kurang gemar, tidak mengapalah asalkan laman bersih.

Nenas. Dan rakan yang lainnya.

Saya tidak sedar rupanya saya sangat sangat suka buah-buahan tropika. Saya sedar fakta ini selepas tamat kehidupan di asrama. Saya suka betik. Saya suka durian. Oh, saya suka juga duku. Saya terlalu suka nenas. Juga mangga. Ciku saja yang saya tiada perasaan.

Mungkin kehidupan di asrama yang sederhana mengajar saya untuk lebih menghargai apa saja yang dihidangkan. Tapi ada tempoh singkat Allah tarik nikmat kelazatan buah buah lazat ini bila saya asthma tiba-tiba pada tahun akhir di UKM. Tapi sekarang syukur, saya sudah boleh menikmati semula buah-buah ini. 

Saya pernah skeptikal terhadap nenas, dulu. Tapi sejak jiran saya di Melaka pernah beri kami rasa Nenas Josephine yang dia tanam, subhanallah, manisnya macam disuntik gula. Sejak itu saya peminat nenas nombor satu (dalam dunia saya). Saya fikir, itulah nenas paling lazat yang pernah saya rasa. Dan kemudian Allah aturkan saya untuk ikut Zul bermukim di sini. Saya jumpa nenas lebih lazat dengan harga paling tidak boleh percaya, di Tamu Bintulu. Saya fikir, selain Zul, mungkin nenas adalah faktor saya masih bertahan, hidup di rantau orang ini.

Kelmarin saya beli tiga biji nenas semuanya super-manis. Dua ringgit Malaysia. Kemudian rasa bersalah sebab Zul tidak makan nenas sangat, saya beli buah salak (yang sangat harum macam bau gula-gula getah), juga dua ringgit Malaysia. 

Sekarang, bangga atau tidak jadi orang Malaysia?

Comments

Popular Posts