Sementara menunggu hujung minggu

Ini kerabu mangga. Zul kata, dia selalu dengar orang cakap-cakap tentang kelazatan kerabu mangga. Tapi dia tak pernah rasa. Maka saya buatkan, ini resepi dari emak, saya pernah buat bersama Mak Pah, masa majlis bertunang saya dulu. Lazatnya. Saya tolong mayang mangga guna grater, sampai terparut jari sendiri. Tapi jangan risau, semua orang yang makan kerabu itu tidak jadi Raja Bersiung pun.

Kerabu, apa-apa jenis pun, memang senang. Cuma perlu banyak bahan. Untuk kerabu mangga, begini caranya, ya puan (dan encik yang baca blog saya).

1) Bakar belacan, dan tumbuk bersama cili hidup dan sedikit garam. Untuk jadikan sambal belacan. Takkanlah buat sambal belacan pun tidak tahu, kan. Kalau mahu manis tambah sedikit gula.
2) Parut mangga (ikut berapa banyak yang anda mahu), mayang halus bunga kantan, bawang besar, dan serai. (Saya gunakan dua biji mangga muda, tiga kuntum bunga kantan, seulas bawang besar dan sebatang serai).
3) Gaul dengan sambal belacan, dan tabur dengan sedikit kacang tanah (dipanggang dan ditumbuk kasar).
4) Siap. Kan senang?

Bila sudah rasa, Zul kata, 'not my cup of tea'. Tapi dia bersyukur juga, dapat rasa. Saya? Saya memang suka. Kalau ada masak lemak nangka, ikan masin, dan kerabu mangga. (Belum ada semua-semua itupun sudah ada masalah gemuk, macam mana?). Cubalah. Oh, kacang tanah itu terpulang, kalau tidak ada pun sedap.

Comments

Popular Posts