Telur dalam bakul untuk sarapan pagi
Kadang-kadang saya suka kalau Zul ada waktu saya melayan rancangan masakan, sebab kalau ada yang menarik dan doable, dia akan bersungguh-sungguh dalam ertikata sediakan alatan yang betul untuk saya buat.
Telur dalam bakul, egg in the basket, atau, hen in a nest, atau egg in the hole, terlibat dalam satu babak cerita V for Vendetta. Sebelum itu, saya ada cerita pada Zul, tentang blog ini. Kemudian bila ada visual-aid dalam V for Vendetta, esoknya terus keluar cari cookie cutter untuk merealisasikan telur dalam bakul untuk sarapan.
Senang sangat untuk sediakan telur jenis ini. Sapu mentega pada kedua-dua belah roti, kemudian potong bulat dengan cookie cutter, kemudian panggang roti dalam kuali leper. Kalau tiada cookie cutter, guna donut cutter pun boleh. Tapi kalau tiada juga, dan sudah teringin mahu buat, tak sempat-sempat nak tunggu esok untuk pergi kedai cari cookie cutter, mahu guna pisau pandai-pandai lukis bulat pun boleh. Dan kalau rasa kecewa hasil bulat tidak sempurna, sila jangan salahkan diri sendiri. Bukan mahu masuk pertandingan. Kita anggaplah bakul itu memang kerekot sikit, tak mengapalah. Kita semua manusia saja.
Ok, selepas panggang roti, pecahkan telur cantik cantik dalam bulatan, kalau ada yang terkeluar sedikit pun jangan salahkan diri sendiri. Tunggu telur dan roti masak di bahagian bawah, kemudian terbalikkan dengan berhati-hati. Bila sudah selesai masak kedua-dua belah, angkat telur dalam bakul itu dan bulatan kecil yang selebihnya, hidang dengan lada sulah, atau dengan sos, atau dengan sambal tumis ikan bilis. Ikut suka lah.
Senang kan?
Oh, V for Vendetta memang bukan rancangan masakan. Jangan salah faham.
Comments