Terima kasih, Tuhan





Tadi saya baru lepas bercakap dengan emak, di telefon. Emak kata, waktu-waktu tadi, 27 tahun lepas, sedang bertarung dengan sakit yang terlalu, untuk bersalinkan saya. Tapi emak kata juga, sakit yang sekejap itu, apalah sangat untuk seorang saya yang sudah besar panjang (dan gemuk) yang sudah dapat buat macam-macam benda. Tapi untuk kesekian kalinya, saya berterima kasih sebanyak-banyaknya pada emak sebab bertahan dengan sakit, membesarkan saya, untuk saya jadi seperti saya pada hari ini. Terima kasih emak dan ayah. Tanpa magis perkahwinan mereka juga, saya mungkin masih di loh mahfuz terawang-awangan.


Semalam Zul buat saya terharu dan hampir menangis sebab buat kejutan yang saya langsung tidak dapat agak. Entah mengapa, semalam juga saya bitter semacam mungkin kerana malas mahu mengaku sudah hampir tua, atau tidak mahu mengaku sudah tua tapi belum capai apa-apa yang hebat untuk hari lebih tua (dan dunia selepas mati). Kemudian lepas makan durian (yang mahal, sekilo boleh RM12?) sempena hari lahir, selepas tutup pagar dan sedia-sedia untuk tidur, Zul terkejutkan saya dengan sesuatu yang sudah lama saya idamkan.

Saya tidak gemar dengan kejutan sebab saya manusia yang suka sedia-sedia mental dan fizikal sebelum apa-apa. Maka jadi terharu sangatlah. Mungkin itulah tujuan utamanya, kan.

Kemudian ada ucapan-ucapan yang penuh doa sejak malam tadi hinggalah ke pagi, kemudian lagi di Facebook, terima kasih banyak-banyak untuk yang mendoakan dan yang beri ucapan. Betul, saya terharu.

Dan yang paling utama,

untuk nikmat umur ini,
untuk nikmat nafas ini,
untuk nikmat hidup ini,
untuk nikmat bahagia ini,
untuk nikmat agama ini,

Terima kasih Tuhan.

Comments

Popular Posts