Good thing about being early is that you are allowed to make mistakes


Saya adalah jenis manusia yang selalu lambat, naturally. Tak pasti memang ada gen lambat dalam kromosom, atau peleceh yang jadi lambat ke mana-mana. Tapi sejak kahwin dengan Zul, jarang-jarang saya lewat. Jadi teori punyai genetik lambat itu rekaan semata-mata. Kerana Zul manusia paling punctual yang pernah saya jumpa.

Tapi tajuknya pun manusia, mestilah ada kekurangan sekali-sekala. Tadi waktu saya hantar Zul ke airport, sejurus tiba depan pintu masuk, rupanya kami baru sedar Zul tertinggal beg. Beg sebesar-besar beg (tidaklah besar sangat, saiz kabin lah, tapi sebab ini cerita saya, mahu bikin panik sikit) boleh tertinggal. Biasanya kalau ke mana-mana saya akan buat last minute check dan tanya soalan-soalan seperti

'pasport dah bawak? IC? tiket ada? kasut dah masukkan? toiletries dah ambik?',

dan tak terfikir langsung untuk tanya

'beg dah bawak?' .

Mujur kami tiba awal. Awal 40 minit. Meski airport ke rumah tidak lah dekat, tapi bila sudah bawak 180kilometersejam mestilah boleh pergi balik dalam 20 minit. Kecut perut tak payah cerita lah, maki lori dan kereta lembab di lorong kanan pun sudah berbakul-bakul (dalam hati saja, bakul itu dah dibuang, jangan risau).

Pengajaran, sila amalkan sikap datang awal setiap masa. Kita tidak tahu bila kita akan terlupa bawa beg. Haha. Lagipun kalau anda belum tahu, sikap terburu-buru itu amalan jin. Tak sedaplah mahu disamakan dengan jin, kan?

Cerita lain, saya masih demam. Demam selesema, sejak Isnin. Mula-mula sakit tekak yang teruk, kemudian selesema, kemudian batuk, kemudian cirit-birit. Risau juga kalau-kalau jadi manusia pilihan yang dijangkiti virus selesema babi. Tapi suhu badan tidak tinggi, maka syukur alhamdulillah. Moga demam ini pembersih dosa, sebelum Ramadhan yang bakal hadir lebih kurang seminggu lagi.

Waktu belum jumpa doktor, saya cuba jengah laman web kementerian kesihatan khas untuk wabak ini. Tapi sedihnya, laman itu langsung tidak dikemaskini. Apa yang saya cari pun tiada di situ. Saya fikir, kepanikan masyakarat biasa (macam saya) adalah wajar. Kita tidak didedahkan dengan info yang telus dan jelas. Wabak ini bukan perkara yang boleh dipandang 'kesiannya, ramai orang dah mati, tak mengapalah, bukannya kita/keluarga kita'.

Waktu jumpa doktor malam tadi, dia beritahu rakannya, juga doktor, dua orang telah dijangkiti wabak ini, meskipun bukan golongan berisiko tinggi (kanak-kanak, penghidap asthma, ibu mengandung, dan pesakit berkaitan paru-paru). Mestilah doktor bukan kanak-kanak, takkanlah genius sangat.

Tapi saya paling kasihan pada mereka yang bekerja di hospital (hospital kerajaan khususnya), saya faham semua hospital di Malaysia pun kekurangan pekerja. Apatah lagi doktor. Sesiapa yang mampu untuk dapat rawatan di hospital swasta, silalah berbuat demikian. Beri peluang pada mereka yang tidak mampu, untuk guna hospital kerajaan.

Oh lupa mahu beritahu. Saya sudah lengkapkan senarai 'Things you would see in Bintulu'. Hujung minggu lepas, saya nampak orang kencing tepi kedai. Bukan kanak-kanak. Lelaki dewasa. Sekarang boleh balik semenanjung sebab dah potong semua senarai itu. Haha.

Tapi tidak perlulah mencemuh aras sivik orang di sini. Di Bandar Baru Bangi yang saya rindu itu pun saya pernah nampak. Orang kencing tepi stesyen minyak, dekat dengan orang jual DVD, waktu itu saya mahu ke pasar malam. Punyalah pemalas dan tiada adab, tandas bukannya jauh sangat, macam sepuluh langkah saja di stesyen minyak itu. Rasa mahu tampar, tapi dia sedang kencing. Tak mahulah ke pasar malam ada bau busuk.

Tahukan malu itu sebahagian daripada iman? Saya pasti orang-orang begitu bukan orang Islam.

Saya sudah mula ngantuk. Ubat batuk memang remedy yang lazat untuk orang yang suka tidur.

Sampai saya ada kudrat untuk update lagi, jaga diri, jaga kesihatan, dan silalah pakai surgical mask jika berada di kawasan ramai orang, meski kita bukan doktor bedah atau Derek Shepherd atau Alex Karev. Tiba-tiba. Saya salahkan ubat batuk lazat itu.


Comments

Popular Posts