Sebelum Ramadhan



Saya masih berkira-kira untuk teruskan menulis entri resepi dan makan-makan sepanjang bulan puasa. Saya risau, pahala puasa orang yang baca jadi berkurang sebab mengecap ngecap air liur dan jadi tidak sabar untuk berbuka.

Andaikata saya tidak menulis resepi, maka ini entri terakhir bawah tema makanan.

Sambal goreng ikan bilis.

Ah. Sambal, cili, kepedasan dan kecilian janganlah dijauhkan dari hidup orang Melaka. Memetik kata ibu saudara saya (meskipun orang Melaka, tapi di bahagian Minang sedikit, yang lebih mencintai cili padi), bila terpandang ayah saya membeli seguni cili kering untuk stok sebulan, dia terkejut 'apo ko cili'an porut budak-budak ni, bukan main banyak cili?'.

Ya. Malah jangan salah faham dengan istilah sambal yang berbeza. Sambal goreng ikan bilis dan sambal tumis ikan bilis, adalah berbeza.

Walaupun saya terkejut bila Zul dan mak mertua saya beritahu, bagi orang Johor, istilah sambal goreng merujuk kepada lauk yang mengandungi campuran suhun, tempe goreng, kacang panjang, lobak merah, ikan bilis dan udang kering. Oh dan sedikit cili potong. Langsung tidak merah. Siapa sangka betapa berbezanya istilah, meski hidup dalam negeri yang berjiran.

Panjangnya cerita.

Buat sambal goreng ikan bilis adalah senang. Kunci utama, garingkan cili.

1) Goreng hingga garing ikan bilis (yang telah dibasuh dan ditos, ikut banyak mana mahu dilibatkan dalam sambal)
2) Keluarkan ikan bilis, ketepikan.
3) Tumis bawang merah, bawang putih, garam, dan sedikit belacan (yang semua ditumbuk bersama, lebih banyak bawang merah, lebih wangi) sehingga naik bau.
4) Masukkan cili (cili kering yang telah dikisar, masukkan beberapa sudu sesuai dengan minyak dalam kuali. Jangan terlalu banyak, nanti lambat garing).
5) Gaul dan gaul hingga garing (akan ada fasa cili terpisah dengan minyak, orang tua-tua panggil, pecah minyak. Ya kah?)
6) Kemudian bila sudah pasti cili betul-betul garing, masukkan ikan bilis rangup tadi, gaul. Dan akhir sekali, masukkan bawang besar yang dihiris nipis.
7) Kemudian angkat dan hidangkan.

Makan dengan nasi panas. Kemudian letak kicap. Tak perlu lauk lainlah, ada potensi nasi akan tidak cukup.

Saya malas lah mahu huraikan panjang lebar, sekarang pun sudah macam teringat-ingat sambal goreng.

Sambal goreng sebenarnya adalah kelemahan saya. Malah saya pernah jadi sangat gemuk waktu sekolah rendah dulu sebab sambal goreng. Sekarang, saya jarang masak sambal goreng, sebab nanti Zul tuduh orang Melaka tidak tahu masak benda lain. Haha. Tidaklah, Zul mana pernah tuduh saya. Sebab tidak ada sambal goreng pun boleh jadi gemuk begini, janganlah bayangkan jika selalu makan.

Selamat mencuba, dan selamat memeriahkan bulan Ramadhan. Ini masa untuk mengempiskan perut dan memuatkan semula pinggang dalam seluar yang ketat.

Dan apa pendapat anda, perlu teruskan entri makanan waktu bulan puasa, atau tidak perlu?

Comments

Popular Posts