Tujuh Ramadhan


Lamanya sudah seminggu baru ada entri baru. Kebelakangan ini saya tidak masak, ada ramai orang bermurah hati menjamu berbuka. Tapi sebetulnya ada stok gambar yang saya masih belum guna dan kongsi resepi. Entah mengapa, letih semacam dan malas mahu membebel di blog.

Saya menyampah betul dengan sesetengah orang (perempuan) yang diberi rukhsoh puasa kemudian dengan tidak ada rasa malu, pada siang hari menghebahkan apa yang dia sedang makan, atau telah makan. Ada pula yang sungguh tidak senonoh siap sendawa konon-konon sudah kenyang. Saya jumpa perkara begini banyaklah, di facebook. Tidak dapat makan depan orang, dengan teknologi pun masih boleh memberi dosa kepada diri sendiri. Tidak tahu agaknya dosa orang yang makan depan orang berpuasa.

Kalau blog itu lainlah cerita, kita memilih untuk baca blog tertentu. Read at your own risk. Kalau status, tak dapat tidak mesti terbaca punyalah.

Sudah hilang malu agaknya. Tahukah mereka bahawa malu itu sebahagian daripada iman?

Saya sebenarnya tidak mahu meluah benci begini, tetapi buat peringatan kepada kita, manalah tahu dalam tidak sedar kita terbuat.

Eh, tadi mahu kongsi resepi? Sudah tenang baru boleh kongsi dengan aman.

Ini kuih keria. Senang sangatlah buat kuah keria. Cuma salut gula saya sedikit tidak senonoh, tidak sabar-sabar tunggu hingga jadi karamel sudah masukkan kuih.

1) Rebus keledek hingga empuk, kemudian toskan, kemudian lenyek hingga hancur. Kalau ada masher lagi bagus, tapi untuk orang Malaysia macam kita yang jarang buat mash potato, guna garpu pun boleh.
2) Masukkan sedikit tepung gandum, sehingga tahap boleh menguli adunan jadi bentuk bulat. Tak perlu banyak nanti keras kuihnya.
3) Kemudian bentukkan jadi gegelang seperti donut. Kemudian goreng.
4) Sudah goreng, sejukkan sebentar sebelum masukkan dalam karamel (gula hangus)
5) Gula hangus pun tak perlu masukkan air, nanti cair. Hanguskan gula pasir (beberapa sudu) hingga warna keperangan, bila sudah larut semua gula, masukkan kuih-kuih tadi hingga semuanya tersalut.
6) Angkat, hidang. Makan bila sudah azan Maghrib di tempat anda. Kalau mahu buat waktu bulan puasa lah. Kalau buat waktu bukan Ramadhan tak perlulah tunggu hingga Maghrib. Kan.


Saya bercita-cita mahu buat kuih tepung pelita satu hari yang rajin nanti. Saya pernah beritahu saya jumpa jagung dalam kuih tepung pelita yang kami beli Ramadhan tahun lepas? Ya, saya mula-mula jadi seronok sebab ingatkan tiada orang yang buat dan jual tepung pelita di sini. tapi bila berbuka, dan makan, bukannya ada cebis sengkuang, ada ketul jagung di bahagian dasar kuih pelita. Langsung jadi marah. Mahu kreatif dengan kuih tradisional? Saya nasihatkan jangan. Kalau tiada sengkuang cina, biarlah kosong pun tak mengapa.

Banyak unsur kebencian rupanya entri ini. Maafkan saya telah melibatkan kalian. Saya berhenti dulu. Sampai saya masak dan rajin ambil gambar, selamat meneruskan puasa, tadarus, terawikh dan bersahur.


Comments

Popular Posts