Komputer yang puasa
Menyampah juga buka-buka masih cerita laksam semalam (hey it rhymes!). Saya ada beberapa resepi mahu dikongsi, tapi adalah sedikit sukar untuk buat kerja-kerja mengedit gambar dengan komputer riba.
Komputer atas meja (desktop) kami tiba-tiba telah menghilangkan semua data dalam hard disk, minggu lepas. Sudah hantar betulkan, memang sudah innalillah semua yang disimpan, kami percaya ini ujian Ramadhan lagi. Tak mengapa. Kemudian orang kedai telah install Windows XP walaupun sudah beritahu mahukan Vista. Sekarang komputer sudah macam orang puasa lupa sahur, kejap-kejap keluar bunyi pelik, kejap-kejap restart sendiri lepas keluarkan blue screen yang sungguh mendebarkan itu.
Kami bercadang mahu menuntut bela pergi hantar komputer semula ke kedai yang sama suruh reinstall Windows Vista. Mungkin tidak stabil dengan keadaan sekarang. Mungkin juga komputer ini berpaling tadah tidak semena-mena. Entahlah. Tapi kami sudah dapat pengajaran, kalau ada guruh dan kilat, cepat-cepatlah tutup peralatan komputer dan cabut suis. Kecuali kita ada duit berkoyan-koyan untuk betulkan komputer di kedai yang tidak faham bahasa dan untuk beli hard disk baru yang tidaklah murah, baik lagi pergi beli bunga Lovely Lace untuk hiasan hari raya. Atau beli dua tiga kek lapis Sarawak untuk diberi pada saudara mara di semenanjung.
Eh, sudah lupa tujuan kemaskini blog tadi. Apa ya?
Gambar buah yang di atas tidak ada kena mengena pun dengan rungutan ini. Pun, gambar lama waktu balik Johor Bahru tahun lepas. Baru mahu menghargai gambar dalam folder dalam komputer riba, kalau tidak, mesti buka pun malas.
Oh, nanti bila sudah selesai menuntut bela dan betulkan komputer atas meja, saya update resepi lagi. Sekarang siku saya sudah kejang, sebab guna komputer riba bukan atas riba, tapi atas katil. Susah betul meniarap sambil edit gambar sambil merungut-rungut.
Sekian, sesi meluah perasaan. Saya perlu buat kerja sebenar.
p/s: Untuk Kak Sasha yang baik hati, saya tak pasti bila akan buat laksam lagi, kerana proses buat laksam saya yang pasti akan memalukan masyarakat Pantai Timur. Tapi sementara saya belajar-belajar dan buat sampai berjaya, resepi asal saya ambil di sini, bolehlah cuba.
Comments