Hari bukan sentiasa ada matahari atau hujan, kadang-kadang muncul jerebu tebal juga
Kami sudah kembali ke tanah bertuah Bintulu tiga hari lepas, tapi baru sempat memunculkan diri di dunia virtual. Sampai Marliza risau saya tidak kelihatan. Sebetulnya kalau balik ke rumah memang banyak kerja dan ada sedikit tempoh jetlag yang sungguh mengada, kalau mengadu pada Zul, dia akan suruh saya ke gim.
Tapi alhamdulillah, siri terakhir baju-untuk-dibasuh sudah selesai semalam, dan beg sudah selesai unpack, cuma kuih raya belum selesai susun dalam botol. Bukan kuih raya sangat pun, cuma kerepek dan jeruk dari emak-emak di Melaka dan Johor Bahru.
Sepanjang tiga tahun yang lepas, cuti Aidilfitri akan jadi sungguh padat, tidak terkejarkan untuk beraya dan meluang masa dan bersembang betul-betul dengan keluarga dan saudara-mara. Tapi syukur, kesempatan yang sedikit itu kami dapat manfaatkan dengan keutamaan wajib untuk emak dan ayah, dua-dua belah. Saya fikir, bila sudah dewasa dan berumahtangga begini, Aidilfitri bukan satu ruang untuk kami bersuka ria dan bermewah-mewahan. Bagi saya, yang paling penting dapat gembirakan hati orang-orang yang kami sayang.
Saya dan Zul memang tidak sempat beli baju raya, tidak sempat beli kain di Semenanjung dan tidak sempat tempah. Lagipun, saya memang tidak gemar baju siap yang memang banyak jual terutama di Angsana. Marliza mesti tahu betapa banyaknya baju raya sampai rambang mata, kalau mahu beli. Tahun depan, insyaallah, boleh susun rancangan lebih baik untuk Aidilfitri.
Belum sempat edit gambar raya, mungkin bila komputer atas meja kami sudah pulih, sebab gambar banyak, dan ada siri jalan-jalan ke Singapura juga. Boleh sebenarnya guna komputer riba, tapi akan guna terlalu banyak masa, sebab sudah terlalu berat papan pemproses (processor) dia tidak mampu buat kerja teruk-teruk. Kasihan.
Oh, juga entri resepi saya masih bertangguh. Nantilah, pada satu hari yang tenang, saya kongsi. Maaf bagi sesiapa yang menunggu. (Maaf zahir batin untuk sepanjang tahun sampai Aidilfitri tahun depan, ya?).
Sampai ada ruang nanti, jaga diri, usahakan untuk berpuasa enam jika mampu ya? Peringatan untuk diri sendiri juga, heh.
Comments