Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging
kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik Pencipta.
(Al-Mu'minuun, 14)
Assalamualaikum semua,
Saya baby. Err, ibu dan ayah panggil saya baby. Umur saya baru 5 bulan, dalam alam rahim. Dalam alam dunia, saya masih 0 bulan. Sebetulnya ibu sudah lama mahu kenalkan saya dalam blog, manalah tahu ada kawan-kawan ibu yang mahu tahu perkembangan dia.
Ibu dan ayah panggil baby sebab mereka masih belum ada nama untuk saya. Tak mengapalah, saya pun tidaklah risau sangat, masih ada masa, insyaallah.
Dengan izin Tuhan, saya akan lihat cahaya alam dunia dan bernafas udara dunia pada bulan April, mungkin 14 mungkin 15 haribulan. Entahlah, doktor yang periksa saya tiap-tiap bulan suka tukar-tukar tarikh saya dijangka keluar. Doktor lebih bijak, saya manalah tahu apa-apa.
Saya cuma ada kemahiran kayuh kaki macam naik basikal (walaupun saya tidak pernah jumpa basikal lagi), dan tendang ibu sikit-sikit. Ayah belum dapat rasa, nanti bila ayah ada, saya cuba bagi ayah rasa skill tendangan saya.
Erm, apa lagi ya?
Oh, bulan lepas, doktor beritahu kami, saya mungkin seorang perempuan. Ibu dan ayah kata, alhamdulillah, mereka sebetulnya tidak kisah, asalkan saya sihat dan membesar dengan sempurna.
Ibu suruh saya beritahu, dia minta maaf sebab beritahu lewat. Kadang-kadang sudah mahu beritahu, tapi segan-segan sedikit. Tambah-tambah lagi risau itu dan ini. Biasalah, perempuan, memang suka risau. Nanti saya sudah dalam lahir dan besar nanti mungkin juga akan risau. Agaknyalah.
Doakan saya selamat lihat cahaya dunia bulan April tahun depan, ya? Saya tak sabar mahu lihat ibu, ayah, nenek dan atuk (dua-dua belah), dan semua saudara mara dan kawan-kawan. Doakan ibu kuat lahirkan saya. Doakan semuanya selamat.
Sampai jumpa nanti. Ibu kirim salam. Ibu memang pemalu orangnya, haha.
Comments