Cuma ada 2 hal besar dalam hidup ini, cinta dan kematian, ketika kita siap menghadapi keduanya, bererti kita siap menghadapi apasaja.
Dan Allah sekali-kali tidak menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Munafiquun, 11)
Sukar saya mahu mulakan entri ini.
Dan sejujurnya, saya masih belum bersedia untuk membiasa-biasa menulis dan bercerita tentang cuti panjang tempoh hari.
Saya pulang ke Melaka, dan bersama Zul terus ke Penang, dan pulang ke Johor Bahru, dan jejak kembali ke tanah bertuah Bintulu ini Ahad lepas. Perjalanan hari Ahad yang sungguh panjang dan meletihkan. Kerana hidup ini, setiap yang berlaku ada hikmahnya, maka pengajaran yang pasti kami akan ingat sampai bila-bila, semak jadual penerbangan atau tiket bas atau sebarang tiket perjalanan. Jangan jadi menyesal dan membuang masa di kemudian hari.
Disebabkan masih terlalu letih, pagi Isnin, Zul bercadang memohon cuti. Tapi kami diberitakan tentang kematian seorang sahabat.
Pada pemula hari tahun baru ini. Berita kematian menyambut kami membuka lembaran tahun baru.
Sungguh, terlalu sukar untuk kami terima dan percaya. Arwah meninggalkan alam dunia bersama seorang bayi dalam kandungan. Jika ada yang bertanya apa punca utama? Saya fikir jawapannya adalah kerana ajalnya sudah tiba, cuma asbabnya masih tidak jelas. Saya pun tidak mahu menceritakan apa-apa yang tidak pasti.
Terlalu banyak yang telah kami kongsi. Jauh dari keluarga, di Bintulu ini sahabat-sahabatlah keluarga. Sampai sekarang kami masih sedang belajar untuk menerima hakikat Allah telah mengambilnya, dalam kondisi yang paling mulia.
Suhieda Sukiman, semoga rohmu ditempatkan dikalangan solihin, dan sentiasa dicucuri rahmatNya. Al-Fatihah.
Comments