Hey moon, please forget to fall down
Baiklah, ceritanya begini.
Gambar di Penang adalah banyak dan saya perlu ambil masa untuk edit dan sebagainya. Maka saya belum buat lagi, sebab selain malas, saya ada banyak kerja juga.
Maka untuk mengelakkan blog ini makin bersawang, saya mahu tulis semborono, ikut suka saya sedang mahu tulis apa, ya.
Rumah sewa kami, syurga kami (kah?)
Saya ada beritahu kan, kami sedang menunggu keputusan dapat rumah sewa baru atau tidak. Ditakdirkan Tuhan, penyewa berkenaan memaklumkan berita gembira kami dapat sewa. Mahal sedikit berbanding rumah sekarang, tapi sangat banyak kelebihan berbanding rumah sekarang. Saya malas sebenarnya menceritakan apa yang kurang enaknya tinggal di rumah yang kami duduki ini, sebab saya tidak mahu kedengaran tidak bersyukur, tapi sesungguhnya setiap manusia itu berhak untuk memilih yang lebih baik, bukan? Jika ada pilihanlah. Jika tiada pilihan apa boleh buat.
Maka saya dan Zul sudah girang suka siap sudah ajak emak dan ayah (Zul) jenguk sekejap rumah itu (waktu mereka ada di sini tempoh hari). Dalam kepala tak perlu ceritalah, angan-angan sudah banyak. Mahu tanam pokok serai lah, mahu letak daun keladi dalam mangkuk cantik buat hiasan di ruang tamu lah, mahu buat housewarming party bila saya habis pantang nanti lah. Macam-macam.
Tup-tup, Ahad lepas tuan rumah sms Zul beritahu, ada orang tawarkan harga sewa lebih tinggi untuk rumah itu. Maka kami tidak mampu untuk counter offer. Sangat sedih dan kecewa. Tapi bila fikir semula, mungkin Allah lebih tahu dan ada perancangan lebih baik untuk kami. Redha sajalah. Cuma sedikit sedih. Saya beritahu Marliza. Marliza yang sungguh baik hati itu telah hantar sesuatu buat penghilang duka. Tadi saya baru terima. Jadi sungguh tak larat sebab comel sangat. Terima kasih sekali lagi, Marliza yang manis.
Maka sekarang saya sedang memperindahkan rumah sewa sekarang supaya kami lebih selesa dan sesuai untuk bayi comel yang akan lahir nanti. Mula-mula mahu merajuk juga dengan Bintulu. Tapi merajuk lama-lama pun bukan dia mahu pujuk kita, kan. Terima seadanya, dan doa-doa-doa ada yang lebih baik di sebalik kecewa ini.
The world of pregnancy
Oh, saya sekarang kalau duduk lama-lama kemudian berjalan akan kelihatan seperti penguin. Bukan mahu sangat kelihatan mengandung, tapi tapak kaki dan belakang adalah sakit kadang-kadang. Saya sedang bayangkan arwah nenek saya yang melalui 19 kali kehamilan dan melalui semua pancaroba ini. Hebat kan.
Sekarang juga ada banyak benda normal yang saya sukar lakukan. Contohnya, pakai stokin, dan potong kuku kaki. Ini belum full term sudah sukar. Zul ada tawarkan mahu tolong, tapi tak sampai hati pula, dan macam kelakar kalau saya benarkan. Nantilah, bila sudah benar-benar tidak sampai.
Oh, alam mimpi saya juga sungguh menarik. Dan tiap-tiap kali lepas subuh mesti saya mampu ceritakan pada Zul mimpi pelik saya. Saya adalah jenis manusia yang jarang ingat mimpi, tapi sekarang boleh hafal mimpi dan boleh ceritakan pada orang lain. Contohnya, semalam saya mimpi Azwan Ali adalah sebenarnya hantu kekek yang mula-mula menyamar membantu seorang perempuan. Entah kenapa ada unsur Azwan Ali. Kemudian kelmarin saya mimpi lagi main bola jaring dengan pasukan tempat kerja Zul, tapi saya pakai jubah. Dalam mimpi itu saya tahu sebab jubah saja yang saya muat sebab mengandung. Kemudian saya risau kalau-kalau perlu lompat, nanti bahaya untuk baby, tapi ada teman sepasukan yakinkan saya, tak mengapa, asalkan jangan lompat tinggi-tinggi.
Haha, kelakar dan semua tak masuk akal.
Saya baca doa tidur, jangan risau. This is all hormonal pregnancy dreams.
Saya belum ambil gambar waktu mengandung betul-betul. Ini waktu berjalan ke Brunei dengan emak dan ayah (Zul). Baju itu sebenarnya terlalu besar. Tapi saya memang tak pandai pakai baju sempit. Hihi. Gemuk, saya tahu.
Resepi dan makanan
Saya sekarang sedang berusaha mengurangkan gula dalam makanan sebab gula saya ada sedikit tinggi. Pun, saya sedang bantu Zul masak menu tanpa karbo. Agak sukar sebab kebanyakan karbo membantu kekenyangan dan memuaikan masakan. Muai tahu? Bukan muai thai. (Muai macam menambah kuantiti sesuatu, contohnya ayam dibuat gulai lebih muai berbanding ayam goreng).
Kalau ada sesiapa mahu kongsi resepi free carb menu, beritahu ya?
Ini chicken salad saya buat tengahari tadi. Tak payah kongsi resepi lah, sebab saya main reka ikut suka saya. Oh, ini untuk Zul. Saya masih makan karbo. Mana boleh diet, kesian baby.
Marliza arahkan saya tulis panjang sebab sudah lama tidak update. Kira panjanglah ni kan, kan?
Tajuk entri: Cuma cebis lagu yang lazat Yuna kongsi dalam video di blognya. Tiada kena mengena pun, cuma saya suka.
Comments