Menjejak Borneo: Kuching (tidaklah menjejak sangat)

Saya baru ada masa untuk buka laptop dan Kasih pula sedang tidur. Mahu menulis secara caca-marba. Sila layankan saja.

Kami baru pulang dari Kuching, last minute plan sebab Zul ada kerja di Kuching. Saya pula tidak pernah berjalan-jalan di sana, cuma pernah transit di lapangan terbangnya. Maka kami pergi Jumaat pagi dan pulang Ahad pagi. Dapat berjalan sepanjang Sabtu. Kami ke Serikin (atas cadangan Marliza dan Delma), ke The Spring, The Hills, lalu Pasar Satok (tapi tidak singgah sebab terlalu panas dan Kasih mengantuk) dan Top Spot Food Court. Tidak sempat menikmati sarapan laksa di bandar Kuching sebab hotel beri sarapan percuma dan kami cuma sempat sarapan pagi Sabtu. 

Rasanya saya tidak akan sempat menulis entri khas untuk Kuching sebab pergi hanya sebentar dan saya tidak mahu berjanji palsu. Haha. Nanti kalau ada masa saya bubuh gambar di Facebook. Ku bilang kalau.

Jadi entri ini ada iringan beberapa gambar ketika di sana, yang sempat saya edit sementara Kasih masih nyenyak, dan saya akan membebel ikut suka walaupun gambar tiada kaitan, boleh? 


Buah salak. Lawak Stesen Salak Selatan tidak dibenarkan di sini ya.


Kuching itu bandarnya besar. Perasaannya bila melalui jalan-jalan di bandar, di antara berada di Muar, terkadang di Jonker Street, kemudian di Penang, dan pulang semula ke Sarawak. Banyak senibina kolonial pada bangunan yang masih dikekalkan. Siapalah saya untuk menulis tentang senibina. Tapi saya suka betul bangunan begitu. Vintage. Coolness. Ada pagar yang kita tidak jumpa lagi sekarang, dengan ukir awan larat yang unik. 




Kemudian kami ke Serikin. Sebetulnya Zul mahu bawa kami ke Damai. Tapi naluri perempuan saya berkeras mahu ke Serikin. Panas pun redah juga. Mujur juga tidak bawa duit banyak. Kalau tidak, mungkin oven pun saya beli (ada oven guna gas macam dulu-dulu punya, saiz besar boleh masak pizza besar). Syukur Kasih tidak meragam. Baik saja duduk dalam stroller. 

Sebagai narsistik sejati, mestilah letak gambar sendiri dalam blog. (Saya suka refleksi Zul dan Kasih di situ). Bila sudah pakai cermin mata begini, minta tawar separuh harga mestilah tak dapat. Kemudian buka cermin mata hitam, cuba tawar pun tak dapat, kemudian merana mata silau dan pening kepala. Ya, mengada. 

Telekung galore. Nampak suci tak sebab nak beli telekung? Haha setakat beli telekung kemudian perasan suci mengapa kau?


Kasih pakai baju Aunty Marliza beri. Pemurah betul Aunty, selalu beri Kasih macam-macam. 

Kami buat jamuan doa selamat dua minggu lepas. Saya masak lauk kampung. Masak lemak daging salai pucuk kayu, ayam goreng berempah, sambal belacan, ulam-ulam, udang goreng kunyit, sirap limau dan pencuci mulut pengat pisang pindang. Tapi satu pun tak sempat ambil gambar. Rasa berdebar sebab tak pernah buat masak lemak tanpa emak, masak lemak daging salai pula tu. Mujur emak sentiasa ada. Sikit-sikit telefon, sikit-sikit telefon. Kalau mak boleh Facetime agaknya dah suruh mak tengok rupa daging dan sebagainya. Haha kecoh. Tapi alhamdulillah, all went well. Cuma Kasih yang tak mahu berenggang, jadi semua tetamu perempuan kena tolong saya menghidang. 

Oh, bilik tidur kami sekarang panas macam di Qatar. Pendingin udara rosak. Ada pemantul haba yang baik dengan awning besi dan bumbung rendah. Maka kami berkampung di ruang tamu yang sungguh dingin macam di Wales. Tapi ujian-ujian beginilah yang kita perlukan, saya fikir. Asyik mahu seronok saja, orang di Afrika masih kurang makan, tiada blog pun untuk mengadu. 

Saya terinspirasi mahu mengambil order buat kek, terinspirasi dari Marliza yang sungguh cemerlang ada kerjaya kedua yang menyeronokkan. Tapi risau jika sebenarnya tiada orang pun akan order. Oh juga, mixer yang dipinjamkan emak mertua telah rosak. 

Bercakap tentang rosak, telefon bimbit saya tidak boleh unlock, ada budak comel telah mencampak (beberapa kali) setelah berlakon bercakap di telefon. Jika saya lewat balas mesej, bermakna saya sedang berusaha menaip mesej di telefon bimbit LG yang papan kuncinya sungguh degil dan tidak sensitif. 

Cukuplah. Tidak berapa caca marba pun. Sehingga sempat menulis lagi. 



Comments

hanakirana said…
kalau aku tinggal di Sarawak mesti aku dah order kek kau. kalau ada masa tulis la resipi2 yg senang2 sesuai utk pemalas macam aku. hahaha nak makan sedap tapi senang nak buat. ;p
Marliza Radzi said…
Kalau sudah mahu ambil order kek, wajiblah Kitchen Aid mixer jadi #1 dalam birthday wish list ;)

Aku rasa glemer dalam entri ini, disebut sebanyak 3x ;P
AyinEmran said…
hanakirana: Oh so sweet. :) Baiklah. Aku suka resepi mudah, kalau resepi leceh memang malas juga. Haha.

Marliza: Kau memang glamer kalau aku tak sebut pun. Heh.

Popular Posts