Seoul Trip!



Seperti yang dijanjikan (berbulan lamanya), ini entri Seoul saya. Penceritaan adalah mengikut kronologi, dan beberapa poin penting. Sungguh skema. 

4 Februari 2012, Sabtu.

Kami semua tiba di Incheon International Airport pada pagi Sabtu. Empat orang dari kami, dan seorang anak kecil iaitu Kasih. Kami (iaitu saya, Zul dan Kasih, bersama Nizar dan Ayu) semua dari penerbangan yang berbeza. Ayu naik MAS dari Kota Kinabalu, saya dan Kasih dari LCCT, cuma Zul dan Nizar dari KLIA. 

Sungguh mendebarkan dan advencer mengecop pasport dan melalui imigresen kerajaan Korea Selatan berdua dengan Kasih, dengan tanpa baju sejuk, kasut biasa tidak pandai berbahasa Korea. Dengan tidak mengaktifkan roaming (sebab terlalu mahal), satu-satunya cara untuk berjumpa adalah dengan berjanji untuk berjumpa di satu poin di dalam airport. 

Dari airport, kami naik teksi ke Seoul. Tambang teksi adalah antara 90, 000 ke 100, 000 won. (Untuk mudahkan pengiraan, abaikan angka ribu, dan darab nilai tersebut dengan 3, lebih kurang pertukaran matawang US Dollar). 

Dalam perjalanan, kami singgah di Sky 72 Golf Club. Singgah beli cenderahati di kedai golf (walaupun  belum buka, minta ihsan pemilik kedai buka awal untuk orang Malaysia dua orang itu beli barang). Masa di airport tak nampak sangat pemandangan, maka masa di sinilah kami dapat lihat matahari pagi dengan salji atas tanah. Pengalaman pertama untuk kami semua (walaupun Nizar & Ayu belajar di Australia, menurut mereka, untuk kategori snow on the ground inilah yang pertama). Saya, kategori apa pun memang jakunlah, tak pernah jumpa salji. Zul sudah jumpa salji di Amsterdam sebelum ini. 

 Saya tak turun sebab waktu ini Kasih menyusu, lagipun kami berdua tiada baju sejuk yang sesuai. Seingat saya, suhu ketika itu adalah 2 darjah celcius. 


 Ini masih dalam perjalanan dari Incheon ke Seoul. Incheon adalah daerah lain luar dari Seoul. Perjalanan lebih kurang 45 minit ke satu jam. Ada singgah-singgah, lagi lama sikitlah.


Kami tiba pagi. Lepas sarapan, rehat, lepas Zuhur kami keluar semula. Oh, beza waktu Seoul dengan Kuala Lumpur adalah awal sejam. Maka tidaklah jet-lagged sangat. Cuma letih tak dapat tidur dengan sempurna dalam kapalterbang. 


 Kami menyewa di Hostel 41st Studio. Saya akan ceritakan nanti dalam poin penginapan. Haha ada poin penginapan konon.


 Tujuan hari pertama ini adalah untuk ke Nam Dae Mun Market. Salah satu pasar dan tempat membeli-belah yang agak terkenal di Seoul. Jika kalian lihat baju sejuk saya (iaitu trench coat kakak saya) itu tidaklah sesuai sangat dengan kesejukan bersalji ketika itu. Kasih punya sweater pun sangatlah nipis, kasut pun cuma sandal. 

Jadi memang motif utama untuk cari baju, boots, dan sarung tangan, untuk kami. Sebetulnya, jika ke tempat orang, pasar adalah antara destinasi menarik yang saya suka ingin lihat. Tapi bila ada anak kecil yang cranky, berjalan-jalan di pasar lambak yang sibuk dan ramai orang adala sesuatu yang tidaklah mudah. Rasa nak tarik rambut pun ada. Ada faktor lapar, letih, dan tertekan. Darab tiga. 


 Kemudian singgah makan di kedai roti. Lapar sangat waktu ini. 



Pasar ini macam Petaling Street dan Jalan TAR digabungkan.  

Maka, lepas dapat beli baju sejuk Kasih (tak dapat cuba sebab dia mengamuk tak mahu pakai baju sejuk), boots, baju sejuk saya dan kasut yang sungguh k-pop itu, kami bertiga pulang dulu. Nizar dan Ayu teruskan hari dengan jalan-jalan di kawasan sekitar Nam Dae Mun (masih ada pasar lain yang menarik di sekitarnya).

Sampai bilik, kami tidur. Keluar semula dan berjumpa dengan Nizar untuk makan malam di kawasan sekitar hostel. Kami makan pizza malam itu. 

Pizza margherita.


Dan stroberi lazat yang Nizar beli.
 5 Februari 2012, Ahad.

Pagi Ahad, lepas sarapan, kami keluar dari hostel lebih kurang pukul 11. Tujuan pada hari itu adalah untuk ke Itaewon, salah satu kawasan di Seoul yang ada banyak kedai makan halal, dan ada masjid rasmi di Seoul. Waktu itu dah rindu nak makan nasi, nak makan nasi. 


 Kasih dengan baju sejuk terlebih saiz. Dan saya dengan boots k-pop yang sangat mencapub. (In my defense, sudah letih cari boots, warna boots yang kurang mencapub tiada, saya malas nak cerewet, dan tak mampu nak pakai kasut flat saya yang sangat licin bila jalan atas permukaan bersalji). Bertenaga sikitlah semua orang sebab dapat tidur dan rehat dan sarapan yang cukup.


 Dari hostel ke stesen Subway yang terdekat, iaitu stesen Hongik Universiti, adalah dalam lima blok jaraknya. Ini gambar Kasih, penuh tenaga dan ceria. Dia singgah di setiap tangga pintu masuk SEMUA kedai yang kami jumpa. Ini sebenarnya jalan yang berfungsi, dengan ada kenderaan dan lori sekali-sekala lalu. Maka letihlah sedikit (baca: banyak) nak jaga Kasih dengan risau-risau kereta datang. 


 Kami terus makan tengah hari di Foreign Restaurant, satu kedai makan halal India Muslim, dengan konsep buffet. Makanannya bolehlah menghilangkan rindu pada nasi, tapi tidaklah begitu meninggalkan kesan yang hebat pada lidah. 

Kalau boleh kami ingin makan makanan Korea, tapi kebetulan restoran Korea yang halal di Itaewon ketika itu sedang direnovasi. Oh, kami juga kebetulan bertembung dengan kawan Zul (SMAPL dan juga Petronas), Fiza Ayu dan suaminya di Subway, mereka yang tunjukkan tempat-tempat makan di Itaewon. 

Selepas itu, kami bungkus kebab (di kedai yang lain) untuk makan malam, dan menuju ke masjid untuk jamak Zuhur dan Asar.


 Masjid Seoul ini berada di atas bukit. Sila bayangkan, lepas makan, panjat bukit dan dukung seorang kanak-kanak 11 kg. Pengsan. 

 Depan Masjid Seoul. Tandas dan tempat wuduk muslimah berada di luar masjid. Saya dengan bijaknya, lepas berwuduk terus keluar dan menggigil-gigil kesejukan sampai masuk dewan solat. Rupanya ada tisu untuk lap air wuduk tapi saya tak tahu. Sejuknya ya rabbi, orang jakun pun tak tahan. 

Dari Itaewon, kami ke Seoul Land di Gwacheon. Seoul Land adalah sebuah taman tema. Sudah berkali-kali janji dengan Kasih mahu bawa dia naik lungsur salji (snow sled). Kasihan juga sebab tempat-tempat yang kami pergi semuanya tidak menyeronokkan dalam dunia seorang kanak-kanak kecil. Jauh juga Gwacheon, bila tiba di pintu masuk Seoul Land pukul 4.45 petang. Permainan lungsur salji tamat pukul 5 petang. Maka berlari selaju-lajunya (tidaklah laju sangat sebab gemuk dan dukung Kasih) takut-takut tak sempat. 


 Dari stesen subway ke pintu masuk Seoul Land adalah sangat jauh. Waktu ini mujurlah Kasih tidur, Zul boleh dukung. Kalau dia sedar, dia memang tak mahu orang lain selain saya untuk dukung. Jauhnya berjalan, rasa nak marah orang Korea yang sihat suka berjalan. Tak tahulah relevan atau tidak. 


Boleh jakun dengan salji lagi. Walaupun dah nipis.

 Dalam perjalanan jumpa tasik beku. Jakun 33kali.


 Akhirnya. Pintu masuk.


 Ada dua tempat lungsur salji sebelah menyebelah. Satu lebih tinggi, untuk orang dewasa. Satu lagi lebih   rendah, untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang penakut. Haha. Bila Kasih duduk atas saya untuk melungsur, dia bukannya seronok, tapi takut. Alahai anakku. Tapi buat dua trip jugalah sebelum mereka tutup permainan ini. Lebih kurang macam naik upih tapi turun bukit, dan atas salji. 


 Untuk tidak membazirkan tiket masuk, kami pun mainlah permainan lain di situ untuk meriangkan hati budak kecil ini. Nizar dan Ayu balik dulu sebab mereka perlu kejar Subway ke Nanta Show di Myeongdong. 

Kami bertolak pulang sebelum Maghrib, dan singgah minum kopi sebelum sampai bilik.


Coffee B2B. Ada terlalu banyak coffee joint di Seoul. Yang ini berdekatan dengan hostel kami. Starbucks dan Coffee Bean tak payah cakaplah, banyak. Kecil saja kedai kopi ini, tapi ada banyak sentuhan unik dan tersendiri. Bila musim sejuk begini, kopi atau teh panas memanglah lazat. Kemudian cuba take away secawan, dan cuba minum di dalam kesejukan salji. Nanti ada wap keluar dari mulut. Itulah yang telah orang jakun ini buat, kemudian dimarahi suami. T____T


 Kami minum Americano. D'uh.



6 Februari 2012, Isnin. 

Hari ketiga, selepas sarapan pagi kami ke Insadong. Sebelum ini, kebanyakan perjalanan naik Subway. Cuma ada beberapa waktu kecemasan naik teksi. Dan ke Insadong juga kami naik teksi. Insadong adalah satu kawasan pelancong yang saya boleh samakan dengan Jonker Street. Ada banyak kedai cenderamata, kedai barang seni, collector's item, dan butik. Adalah terserempak beberapa pelancong Malaysia (yang sombong. Mengapa?). 


 Welcome to Insadong. 


 Kami masuk ke kedai teh ini. Kebanyakan teh ini ditanam di Pulau Jeju. Ada niat nak beli sebungkus dua, tapi mahal sangat harga macam boleh sewa hotel mahal satu malam. 

Lepas jalan-jalan, beli cenderahati (sekejap cenderamata, sekejap cenderahati) sikit, kami cari tempat makan. Disebabkan belum rasa masakan Korea, maka kami cari restoran Korea. 

Disebabkan ini bukan restoran halal, maka kami pesan pada waitress tak mahu ada daging, atau alkohol dalam menu. Cuma makanan laut dan sayur. Kami periksa setiap menu dan pilih yang betul-betul meyakinkan. Komunikasi guna bahasa isyarat dan translator apps dalam iPhone. 


 Seronoknya. Makanan dah sampai berasap-asap depan mata. Ada Seafood Bibimbap (Nasi goreng makanan laut dengan sayur yang banyak), Kimchi Pancake, Spicy Octopus with Noodles, sup miso, dan beberapa jenis kimci. 

 Sayur segar yang melimpah ruah. Bibimbap ini terlalu lazat. Pun, sudah lama tak makan masakan panas baru masak. 


 Mee sambal sotong ini pun lazat. Tapi pedas. 


 Bibimbap dihidangkan panas-panas, kemudian pelayan tolong gunting dan gaulkan. Macam nasi gorenglah, lebih kurang.


 Tengoklah orang Malaysia makan. Licin semua. Air teh pun mintak tambah. 


Selesai Insadong, kami pulang ke bilik. Kemas barang sebab Zul dan Nizar akan menaiki kapalterbang ke Yeosu petang itu. Maka saya dan Ayu akan berkongsi bilik.

7 Februari 2012, Selasa.

Hari terakhir, saya beritahu Ayu, untuk habiskan masa dalam tempat tertutup supaya mudah bawa Kasih (dan saya mengharapkan ada servis stroller juga).

Kami ke Lotte Department Store di Myeongdong. Ada banyak Lotte Shopping centre tapi yang ini adalah jenis mewah. Ada butler di setiap tingkat. Dan ada servis stroller, alhamdulillah. Dapatlah legakan tangan masa Kasih tidur sebentar. Kami makan tengahari di sini juga, di food court.

 Saya ada perangai suka tengok bahagian makanan kalau pergi tempat orang. Tapi ada anak kecil, sempat jeling-jeling sajalah. Saya nampak ada terlalu banyak variasi makanan laut, dari saiz yang biasa, sampailah yang sangat besar. Kimci pun terlalu banyak jenis. Mujur tak berapa ada duit Won, kalau tidak saya sudah borong semua jenis. 


 Keluar dari stesen subway, kami tukar line untuk ke  Seoul Museum of Art. Korea Selatan ada kempen hijau alam sekitar menggunakan lebah sebagai maskot. 


 Depan pintu masuk muzium. 


 Dalam muzium, mujur ada playroom untuk kanak-kanak. Seronoklah Kasih. Oh, muzium ini percuma, cuma ada pameran tertutup yang perlu ada sedikit bayaran. Kami mestilah pergi yang bahagian percuma saja. Dan dalam muzium ada stroller juga, yay!

Kemudian pulang ke bilik, kemas barang, dan bersedia untuk ke Incheon untuk naik kapalterbang pulang malam itu. 

Now, to the important points.

Bahasa.

Kebanyakan papan tanda, poster utama, tanda arah jalanraya ditulis dalam Bahasa Korea dan Bahasa Inggeris. Kebanyakan orang Korea yang kami jumpa, seperti yang bertugas di bidang perkhidmatan (di hostel, kedai makan, pegawai Subway) boleh berbahasa Inggeris. Tapi masih ramai yang tidak tahu bahasa Inggeris. Maka sila sediakan kamus atau guna translator apps dalam telefon bimbit. 

Matawang.

Matawang won lebih kurang dengan US Dollar, seperti yang saya tulis sebelum ini. Cuma abaikan angka ribu di hujung setiap nilai duit. Harga kebanyakan barang, tidaklah mahal sangat, dan tidaklah murah sangat. Winter jacket yang saya pakai itu, bukannya jenis berjenama, berharga 90, 000 won. Itupun setelah habis tawar menawar. Jaket Kasih 45, 000. Sebab tak pernah beli jaket, maka tak boleh bandingkan. Tapi menurut Zul, boleh diterimalah sebab jika jaket yang berjenama dan guna material yang lebih baik lebih mahal. 

(Mujur sarung tangan, topi, dan baju saya boleh pinjam dari kakak yang baru pulang dari UK. Kalau semua benda nak beli memang tak mampu).

Cuma rasa rugi tak menjengah ke Uniqlo dulu sebelum ke Nam Dae Mun market, sebab Uniqlo sedang sale, dan ada jacket yang lebih cantik dan murah dari yang kami beli. Ada butik Uniqlo betul-betul depan stesen subway yang kami lalu tiap-tiap hari. Saya ke mall itu malam Zul dan Nizar ke Yeosu. Rugi. 

Pengangkutan.

Dari Malaysia, ada Air Asia X dan MAS ke Incheon. 

Ayu naik Air Asia X dari Kota Kinabalu (saya kagum ada banyak penerbangan antarabangsa dari KKIA). Saya naik dari LCCT sebab tiket MAS terlalu mahal. Jika ada rezeki lain kali, kami fikir akan beli Premium Seat. Mengapa?

Waktu kami ke Seoul, Kasih belum dua tahun. Lagi dua bulan baru masuk dua tahun. Maka tiada tempat duduk, tapi sudah agak besar untuk duduk dengan saya untuk perjalanan kapalterbang selama enam jam. Mula-mula saya berharap ada tempat duduk kosong supaya boleh legakan kedudukan dan sebagainya. Harapan hancur waktu pergi dan balik. Terlalu padat kapalterbang dari KL dan dari Seoul. Dahsyat juga orang Malaysia. 

Di Seoul, sistem pengangkutan awamnya sangat efisyen. Ada subway (dengan 14 laluan), teksi, dan bas. Jika naik subway, kebanyakan tambang adalah 1,000 won. Boleh beli tiket di mesin atau di kaunter. Teksi juga tidak mahal sangat, jika anda ke Seoul beramai-ramai, maka boleh kongsi tambang teksi. Kebanyakan teksi guna Hyundai, atau Kia yang sangat selesa, rasa nak tidur setiap kali. Kasih memang masuk teksi terus tidur. Semua teksi yang kami naiki guna meter, maka tidak perlu risau dengan penipuan. 


Penginapan.

Kami menginap di Hostel Studio 41st . Bilik kami berharga 90, 000 won semalam. Lebih kurang RM270, agak mahal. Tapi sebab kebanyakan itinerary diuruskan oleh Nizar dan Ayu, maka kami terima. (Zul dan saya dapat tahu boleh ke Seoul pada waktu akhir, lagi 3 hari sebelum ke sana). Mungkin ada bilik studio yang lebih murah, sebab menurut Umi, waktu dia ke Seoul, penginapan tidaklah mahal sangat. 

Tapi hostel ini ada review yang bagus oleh kebanyakan pengunjung, kebanyakannya pada hospitaliti pekerja hostel. Sangat peramah, sangat membantu, hostel sangat bersih, ada sarapan, dekat dengan stesen subway, dan banyak kedai runcit di sekitarnya. 

Hostel ini juga mengamalkan budaya menjaga alam sekitar yang bersungguh-sungguh. 

Dalam bilik kami ada dapur, mesin basuh, penyidai baju, peti sejuk,  katil bertingkat, komputer, sofa dan bilik air. Andaikata saya bawa sabun taharah, memang boleh masak di dapur. Ikan dan barang basah boleh beli di kedai depan hostel, memang selesalah. Sistem pemanas diletakkan dalam lantai papan. Maka sangat seronoklah jika baring atas lantai sebab waktu kami pergi memang sejuk. Ataupun lepas basuh baju, kalau baju lambat kering, letak saja atas lantai, esok pagi mesti kering. 

Sarapan disediakan di ruang komunal di tingkat tiga. Mereka sediakan roti, telur, cereal, susu, jus, cheese, dan jem. Ada microwave, sofa, dan dapur untuk masak telur. Tidak ada kesan makanan haram, maka kami yakin. Tiap-tiap hari tukar menu telur. Scramble eggs, omelette, telur mata. (Berapa hari saja pun kami di sana). Cukup kenyang untuk sarapan tiap-tiap hari. Alhamdulillah. Waktu sarapan boleh jumpa penginap bilik yang lain, boleh tahan seronok juga lah. 

Yang menarik, semua detergen (untuk baju dan pinggan) menggunakan produk mesra alam. Ya, mereka bersungguh dengan kempen mereka. Sampah dan sisa makanan juga mereka sediakan bekas yang berbeza untuk jenis yang berbeza. Pening jugalah kepala masa awal-awal nak asingkan. Plastik dan kertas, sampah yang tidak boleh dikitar, sisa makanan dari kerangan, sisa makanan yang boleh dihancurkan secara semulajadi, sisa makanan cecair. Ya, sangat teliti. Sangat mengkagumkan. 

Waktu saya dan Ayu mahu ke Incheon Airport, pihak hostel yang hubungi teksi untuk kami, dan ada diskaun sedikit. Oh, hostel ini juga ada hotel untuk kucing terbiar yang dijaga secara sukarela. Comel kan? 

Hostel ini memang direkemen (jika anda ada bajet yang membenarkan). 

Makanan.

Seperti yang saya telah sebutkan, satu-satunya kawasan yang ada kedai makan halal adalah di kawasan Itaewon. Dari hostel kami ke Itaewon tidaklah dekat, maka kebanyakan masa kami pilih makanan vegetarian atau roti. Ada satu ketika, saya balik dengan Zul waktu malam, lalu kedai-kedai makan sepanjang perjalanan pulang ke hostel, nampak orang tempatan makan sup panas-panas dalam kedai. Sangat menggiurkan. Musim sejuk, dan makanan panas bersup adalah syurga. 

Tapi jika anda adalah jenis tak memilih makan, dalam ertikata boleh tak makan nasi, maka mudahlah. Sebab kedai roti sangat banyak di Seoul. Pilih roti yang vegan atau vegetarian. Kebanyakan kedai roti ada tulis label dalam bahasa Inggeris. 

Atau bawa sabun taharah bersama. Andaikata menginap di hostel, periuk belanga memang ada. Cuma sucikan, dan terus boleh masak. Kedai runcit memang senang jumpa. Ada sayur murah, ikan, makanan laut pun murah. Ikan bakar dengan nasi panas, kemudian buat sup sikit. Memang terbaik. Bawa bekal perencah sup atau tomyam dari Malaysia. Beras pun ada jual dalam paket individu, maka sangat senanglah. 

Atau jika tak mahu makan makanan laut, pergi Itaewon, beli daging dan ayam halal, kemudian masak. 


Adik saya siap pesan beras (terpengaruh dengan cerita Korea). Saya beli semangkuk saja. Berat nak bawa balik. 

Waktu saya bersama Ayu (Zul dan Nizar sudah ke Yeosu), kami makan di kedai yang ada pilihan vegetarian. Tidaklah susah, cuma kena yakin. Ada banyak juga kedai yang tidak jual daging. Boleh pilih. 

Satu lagi, kebanyakan hidangan, disertakan dengan air teh panas, dan air sejuk bertapis dalam jug. Maka memang boleh jimat sebab teh dan air sejuk adalah percuma. 

Travelling with kid.

Ini kali kedua kami ke tempat orang dengan Kasih. Pertama kali, ke Kota Kinabalu. Waktu itu Kasih kecil, dan belum boleh jalan. 

Saya berdebar sebab tak sempat study langsung kali ini. (Waktu kami ke UK dan Paris dulu, memang beria saya baca semua benda). Saya cuma sempat tanya pada @umiAmir dan @LinGhazale sikit-sikit tips untuk bawa anak kecil di tempat sejuk. 

Satu perkara yang saya rasa paling penting untuk dibawa jika ada anak kecil, adalah baby carrier. Apa-apalah jenis baby carrier yang kalian selesa. Sling, Ergo, Bjorn, silalah bawa. Stroller tidak berapa membantu, jika mahu turun naik subway. Sebab kebanyakan subway di Seoul cuma ada tangga, tidak ada escalator atau lif. Ya mereka semua memang jenis sihat dan suka senaman dalam sebarang bentuk. 

Kasih pula sedang dalam fasa mahu berdukung waktu itu, yang lebih dahsyat dia hanya mahu saya. Sampai satu tahap tangan saya sangat lenguh, rasa mahu berhenti dan duduk tengah jalan sebab terlalu tak larat. Tapi sebab berjalan ada orang lain selain Zul, tak mahulah jadi terlalu menyusahkan. 

Dalam kapalterbang juga. Waktu itu, Kasih masih menyusu. Maka adalah menyeksakan bila dia nurse-to-sleep dalam keadaan sangat sempit. Bayangkan tempat duduk Air Asia itu, ada penumpang lain di sebelah, dan perjalanan enam jam. Kasih tak selesa tidur, memang saya tak dapat buat apa-apa. Nak makan pun tak boleh. Mujur waktu mendarat sempat lagi Subuh, sebab jika perlu ke tandas dalam kapalterbang, memang kena bawa Kasih sekali. Tak dapat bayangkan. 

Penerbangan ke Seoul sangat padat dengan manusia. Dahsyat.

Ada yang tanya, bawa bekal susu tak untuk Kasih? Waktu di Malaysia, Kasih sudah mula minum susu segar dalam kotak, maka saya tak risau untuk bawa bekal. Waktu di sana, kami beli beberapa kotak susu dan jus dan simpan dalam peti sejuk. Teh uncang pun kami beli kalau Kasih mahu air panas selain susu. Makanan lain, Kasih sudah boleh makanan dewasa seperti nasi, roti dan mee, maka tidak risau sangat. 

                             
Ini kedai jual makanan laut yang kami lalu tiap kali ke stesen Subway dari hostel. Ketam yang besarnya, ya rabbi. 

Water dispenser yang ada di kebanyakan tempat awam. Ada pilihan air sejuk dan air suam. Dan cawan disimpan dalam kebuk steril bebas bakteria. Ada tempat sediakan cawan kertas.

Fakta menarik

1. Internet waktu di sana sangat laju. Komputer yang disediakan dalam bilik kami guna untuk streaming youtube video untuk Kasih. Nursery rhymes lah, Barney, semualah. Siap ada cubaan nak menonton drama melayu di Tonton.com. Haha macamlah banyak masa.

2. Orang Korea sangat peramah. Kami tak pastilah jika mereka suka menegur sebab kami bawa anak kecil, tapi kebanyakan yang kami jumpa memang senang senyum dan tegur. Kadang-kadang dibawa berbual (satu hala) dalam bahasa Korea. Kami angguk-angguk dan senyum sajalah.

3. Saya masih kagum dengan sistem pengangkutan di Seoul. Juga kagum dengan enjin kereta buatan Korea. Sebelum ini, tidaklah ada perasaan sangat terhadap kereta Kia atau Hyundai. Tapi lepas naik teksi, terus rasa nak beli kereta buatan Korea. Haha. 

4. Saya juga kagum dengan usaha menghijaukan secara besar-besaran dari segala aspek di sana. Tong sampah memang susah nak dijumpai di tempat awam, tapi tak nampak pun sampah bersepah. Penduduknya sudah ada disiplin sendiri dalam perbuatan membuang sampah. Kalian tahu, kalau menginap di hotel dan ada nota tentang bagaimana mereka mahu menjimatkan air dengan tidak menggalakkan membasuh tuala dan cadar setiap hari (jika menginap lama)? Tapi kebanyakan sabun dan syampu yang mereka sediakan, bukan yang mesra alam pun. Jadi nampak kesungguhan mereka hanya separuh jalan. Tapi di hostel yang kecil tempat kami tinggal itu, memang nampak kesungguhannya. 

Incheon Airport juga ada sistem meminimumkan penggunaan tenaga. Lampu digunakan secara minima waktu siang dengan penggunaan skyline roofs. 

5. Ada terlalu banyak universiti di Seoul. Sehinggakan ada dua universiti khas untuk kaum wanita. Waktu dalam kapalterbang, saya sempat bersembang dengan seorang pelajar wanita yang belajar di universiti tersebut, dari Belanda. Itu baru di Seoul, belum lagi daerah lain. 

Macam dah jadi folio Geografi untuk PMR pula entri ini. Haha patutlah ambil masa lima bulan mahu menulis. 

Tapi secara keseluruhan, trip ke Seoul adalah sangat seronok. Surprisingly fun. Saya tak sangka, nampak sangat fikiran masih dijajah. Zul kata, orang Korea kalau tak pergi negara Eropah pun tak mengapa sebab semua pun ada di negara mereka. Cuaca empat musim? Teknologi  (malah lebih hebat)? Tempat menarik? Tempat membeli belah? Semua ada. 

Wah dah bunyi macam Samantha Brown miskin dah saya ni. Haha. Cukuplah sampai di sini. Andaikata saya ada terlupa untuk menyelitkan fakta-fakta penting, sila tanya. I'll be happy to answer it. 

*Tulisan ini dari saya, yang satu-satunya cerita Korea yang pernah ditonton adalah Winter Sonata, dan tidak juga mengikuti muzik K-Pop. 

Comments

Ummu Auni said…
Thanks ayin for such interesting travelogue
yerx said…
Ayin..
Bole share tak mana nak beli sabun taharah tuh ?
Dya Emran said…
wahh. worth the wait! so detail, mmg patut amik masa 5 bulan!
Nida Shaari said…
wow!! penuh dengan maklumat. Teringin sangat nak rasa salji.

oh, sekadar mahu berkongsi pengalaman, di Bangkok juga stesen skytrain mereka tak ada lif, dan eskolator hanya ada untuk naik. Selebihnya memang menggunakan tangga. Bukan rendah setingkat macam di KL, ini sampai 3 tingkat. Memang mencabar kalau mendukung budak hampir 2 tahun yang entah berapa kilo beratnya. Cuma mungkin bagus untuk melatih rakyat sihat suka naik tangga, tapi kurang mesra kepada OKU lah kan.
nyorq said…
ayin,
baru dpt baca travelogue ni..sgt2 best..aku fhm mcm mana jakun itu..aku smpai skang teringat2 snow korea wpon dulu dok uzbek dh pnah jumpe snow..hihi..
terus rasa rindu nk ke korea lg!
A. Razak Adam said…
Info yang sangat menarik, terima kasih sebab sudi berkongsi pengalaman. Kalau pergi 5 orang boleh tinggal 1 bilik tak? Sebab anak masih kecil takut pulak nak tinggal bilik berasingan.....nak bajet pun ye jugak hehehe. Cadang nak pergi november ni.
eeja said…
Menariknya...terasa kepenatannya, but still really worth to experience this.
Jay said…
wow.. looks interesting.. one day nak pegi juga... nway, saya blogwalking.. jemput visit dan kalau sudi like my blog k.. tq n see ya...
honeybee said…
Wow..such an interesting post.am planning a trip to korea so this post, sangat membantu :)
Delaila Adnan said…
Wah bagus betul....saya akan ke korea 6hb ni selama 10 hari dengar kata cuaca 2 darjah celcius ...tapi nampak you all relax je...:)... Kami dah siap berbagai dah jacket sampai 3 lapis takut tak tahan sejuk...rasa nyesal plak beli banyak2 hehehh
Anonymous said…
Korea sangat best...Saya baru jer balik dari Korea last week. Masih teringat2 kecantikan musim luruh kat sana...Yup, org Korea mmg peramah dan kat sana ada banyak tangga kan? Heheh

:)
Alin Marlini said…
comel Kasih...mmg sepadan ngan Hadi..hehehe
Acaii Jawe said…
Waaa bestnya. Tekun baca ni. Insyaallah ada rezeki bolehlah ke sana juga:) Terima kasih sudi berkongsi ye.
Unknown said…
huhu..bnyk information sy pegi tahun depan 4/2/2013-10/2/2013..musim sejuk jugak..huhu ingt nak beli kasut n srung tangan kat sana..sy pegi student jadi tour guide gi jeju sekali..huhu xbsr rsnya..
dboystudio said…
waaaaaaaa bestnya :)
Anonymous said…
sronok bca entri nie. puan seorg yg ramah n merendah dri.. kasih di dukung sana sini.kalau saya mgkin dh gv up b xlarat dukung lma2.jk ada rexeki, sya akn kesana mac depan bsama suami n ank2.xpenah je oversea pn.excited tp takut pn ada.huhu.tq ya ttg crita puan ksana.byk mmbantu saya.
ummulhusna said…
thnk u for such a good info...dulu pegi trip berdua...nanti cdg nk bw anak2...sharing ni mmg sangat membantu...tahniah sbb sudi luang masa berkongsi semua ni....
Anonymous said…
Ayin nak tanya 1 ni.. macam mana rasa pegang salji? ada macam ais kepal tak? :)
spaceship said…
Salam,sorry tibe2 terjah dlm blog..nak tanye waktu check in dulu tuh pegi kaunter check in atau web check in jer?bawak baby kan..

Popular Posts