Ayah, tenanglah kau di sana





(Iaitu) Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada Allah jualah kami kembali"



                                 

Waktu itu, saya sedang membaca Al-Mulk selepas maghrib, bila Kak Long beritahu ayah pengsan, melalui whatsapp. Sebenarnya waktu itu ayah dah tiada. Kak Long kata, mereka menunggu ambulans untuk mengetahui samada perlu dibawa ke hospital atau tidak. Hakikatnya, paramedik tiba hanya untuk mengesahkan kematian. Dua kali mereka lakukan CPR, gagal. Waktu itulah baru Kak Long beritahu kami ayah memang dah pergi meninggalkan kami. Meninggalkan dunia ini. 

Gelapnya dunia secara tiba-tiba. Waktu itu saya sedang menyediakan makan malam sambil menunggu update dari Kak Long. Kebetulan adik-beradik yang lain (yang jauh dari rumah) tidak membalas. Zul tenangkan saya, dan saya terpaksa menahan tangis sebab Kasih tidak boleh langsung tengok saya menangis, entah kenapa anak yang seorang itu. 

Kami berkemas, dan tiba di rumah ayah pukul 12 malam. Kami lewat sikit bertolak sebab menunggu Zam, isteri Iji habis bertugas. Sampai di rumah, saya terus peluk emak. She was surprisingly strong. Emak memang wanita yang kuat, itu memang saya tahu. Mak kata, ayah dah takde, Ain. Perit tekak saya menahan sedih. 

Saya tidak tidur malam itu, temankan ayah. Sambil mengaji dan ditemani Zul dan abang, di sisi ayah. Nyenyak betul ayah tidur. Tidur yang paling lena sejak bertahun lamanya. Diabetes merampas ayah sudah lama, tapi sejak empat tahun lepas, buah pinggang ayah yang paling beri kesan pada kesihatannya. Hari ayah meninggal, memang baru pulang dari rawatan dialisis. 

Tiba di rumah, ayah tak dapat turun dari kereta, sebab terlalu lemah. Mak panggil Huda dan Kak Long untuk tolong angkat ayah. Kebetulan semua orang lelaki belum pulang kerja. Kak Long kata, bawah lengan ayah memang dah sejuk waktu Kak Long angkat. Ayah didudukkan di kerusi. Nafas ayah berat. Mak dan Kak Long panggil-panggil nama ayah dan ajak ayah mengucap. Ayah tarik nafas tiga kali, dan yang terakhir, panjang. Ayah tutup mata. Itulah akhirnya.

Mak masih belum mahu terima ayah dah pergi, suruh Kak Long periksa tekanan darah. Lima kali, error. Telefon ambulans, mereka lakukan CPR dan umumkan kematian. 

Rindunya pada ayah.

Kami sempat melawat ayah di hospital seminggu sebelum ayah meninggal. Alhamdulillah. Waktu itu ayah tak bagi langsung mak bergerak ke mana-mana. Semua adik-beradik sempat picit badan dan kaki ayah. Sesuatu yang jarang berlaku, sebab ayah selalu nak mak yang picitkan, atau Iji. 

Hajat ayah mahu bercuti dan menginap di hotel tepi laut, tak dapat kami tunaikan. Ayah keluar masuk hospital sepanjang sebulan lepas. Hajat ayah mahu katil sama seperti katil hospital juga tak  sempat kami tunaikan. Katil sampai hari Khamis, ayah meninggal hari Isnin. 

Mak kata, sebenarnya banyak tanda-tanda ayah tunjuk yang dia akan pergi, tapi sebab hati selalu sangkal dan tak mahu terima, maka kami rasa ayah bergurau. Malah waktu saya salam ayah sebelum pulang dari hospital, ayah cakap, ayah ni nak mati, Ain. Saya jawab, ayah kena kuat semangat. Sihat-sihat ya ayah. Saya peluk dan cium ayah. 

Kuat semangat untuk apa? Terasa mementingkan diri sebab mahu ayah sentiasa ada, sedangkan ayah menderita sakit. Allah lebih sayangkan ayah, dan Allah lebih tahu apa yang terbaik. 

Alhamdulillah, kami berpeluang menguruskan jenazah ayah. Saya belajar untuk mengisar kapur barus. Kemudian menjahit kain kapan. Sudah sepuluh tahun tak menjahit, tiba-tiba Allah beri peluang menjahit pakaian terakhir yang ayah akan pakai. Menggigil tangan tak payah cerita. 

Paling saya akan rindu, saya fikir, adalah buah fikiran ayah, dan jenakanya. Ayah memang suka buat orang ketawa. Juga kehalusan jiwanya. Walau tak nampak dari luaran, jiwa ayah halus sebenarnya. 

Jiwa seni ayah paling beri inspirasi pada saudara-mara yang lain. Walaupun sedikit, kami cukup bangga ada ayah seorang pelukis. 

Ayah paling suka buat mesyuarat keluarga. Sejak kami ada meja makan panjang, memang ayah cuba buat mesyuarat keluarga waktu raya. Cuma tahun lepas, tak sempat buat. Sebab saya dan Dya tiada pada raya pertama. Juga ayah semakin kurang sihat. Ayah kata, mesyuarat keluargalah paling penting, daripada mesyuarat persatuan itu ini, sebab jika keluarga sepakat dan betul, maka betullah yang luar sana. Such a wisdom. 

Semua pesanan penting ayah dah beritahu dalam mesyuarat. Kami bersyukur untuk itu, sebab sekurang-kurangnya, kami dapat dengar lagi suara ayah yang dirindui. Sampai akhir hayatnya pun, suara ayah kalau dengar dalam telefon, memang selalu segar dan kuat. Memang sesuai ayah jadi pendidik. 

Yang paling terkesan, mestilah emak. Yang paling selalu berada di sampingnya. Yang menemankan ayah setiap waktu, terutama waktu ujian getir ayah sakit. Ke pusat dialisis. Ke hospital. Di wad. Ke mana-mana ayah minta. Kami harap Allah kuatkan emak menghadapi kehilangan ini. Dan kuatkan kami juga yang ditinggalkan. Kami tahu kematian itu pasti. Tapi kami tidak pernah menjangka ia seperit ini.



                              
Ayah sempat juga datang rumah saya. Entah mengapa begitu bangga bila emak ayah datang rumah, padahal cuma rumah sewa. 






                                          

Ada juga kenangan ayah melukis untuk Kasih.




                                      
Antara lukisan terakhir ayah, sebelum mata ayah semakin kurang berfungsi. 



                        
Yang paling akhir kami jumpa ayah. Zul belikan gulai itik kegemaran ayah. Ayah jamah sikit, sebab tiada selera. Memang sepanjang minggu akhir ayah sudah hilang selera. 




Aidilfitri 2010. Ada tiga keping gambar waktu ini, salah satunya muka saya seperti mahu menangis menahan ketawa. Sebab sebelum ambil gambar ayah laungkan 'Merdeka!'. Padahal hari raya. Yes, I'm easily entertained. We are going to miss your jokes so much, ayah.



Aidilfitri 2012. Ayah kata, dia seronok betul sebab semua anak menantu tolong siapkan sup kaki lembu. We are going to miss your exotic palate, ayah. 





Truly, we are going to miss you. Rest well, ayah. May Allah reunite us all in Jannah. 
Amin ya rabbal 'alamin.


Comments

yunik said…
Wise decision to finally publish this. Semoga Hj Emran disayang Ilahi.
Anonymous said…
Alfatihah.

Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Amin.

-Adzue-
HW said…
Takziah, Ayin. Moga arwah ditempatkan dikalangan para muslimin.

Amin.

*nangis*
fiezachommel said…
Takziah dan Alfatihah. Saya pernah melalui saat ini. Hanya yang pernah merasanya yang faham.
Tabahlah dan janagn berhenti berdoa buat Ayah. Moga doa kita sampai dan moga Allah mengasihani Ayah sebagaimana mereka mengasihi kita di waktu kecil...Amin.

Salam perkenalan dari saya
nuruleyda said…
Takziah sekali lagi, Ayin.
Aida baru berkesmpatan baca entri ni.
Meleleh air mata.
Semoga arwah ditempatkan di kalangan org-org yg beriman.
Al-Fatihah.

Popular Posts