Kalau roboh kota Melaka

Hujung minggu lepas, saya kepingin membuat kuih tradisional ini sebab menurut emak, kuih ini mudah sangat untuk dibikin. Bahan-bahan pun mudah. Dulu-dulu waktu kami kecil ada juga dua tiga kali ramai-ramai tolong emak sediakan kuih ini. Selain mudah, ia sangat menyeronokkan, bila tiba dia timbul-timbul dalam air mendidih. Buat apa-apa pun, bila ramai-ramai, memang seronok. 


Onde-onde  Buah Melaka. 

1) Kisar daun pandan dengan sedikit air untuk diambil patinya, dan dijadikan pewarna. 
2) Gaul tepung pulut dengan air pati pandan, sikit-sikit hingga adunan boleh dibentuk bulat. Jangan banyak sangat air, nanti terlalu lembik, susah untuk dibentuk. Masukkan juga sedikit pewarna hijau (jika ada).
3) Potong kiub gula melaka, saiz kecil supaya boleh diintikan dalam adunan tepung pulut tadi.
4) Masukkan satu kiub dalam satu bebola tepung tadi.
5) Masukkan dalam air yang mendidih, tunggu hingga ia timbul. Bila sudah timbul, selamatkan dia, dan toskan.
6) Gaulkan dengan kelapa parut muda yang telah digaul dengan garam. 
7) Sedia untuk dihidang, nyumm!


Adunan tepung pulut dengan air pandan. Kalau mahu hijau lagi, tambahkan pewarna hijau, ya?







Kuih onde-onde saya kurang hijau kerana tiada pewarna sintetik. Juga, kelapa parut tiada yang segar dijual di sini (atau saya tidak tahu mahu cari di mana), maka saya gunakan yang dalam tin saja. 

Hasilnya? Bolehlah, sedap. Cuma saya terlebih agak meletak garam dalam kelapa, maka ada sedikit masin. Kerana Zul gemar kuih onde-onde yang punya kombinasi gula yang cair dan ketul gula melaka, maka saya gabungkan gula melaka (yang aduhai, takat cairnya sangat rendah, dan manis amat!) dengan gula kabung yang keras. Kami nikmati ketika minum petang, semalam. Mujur juga saya buat sedikit, kerana kuih lama Melayu manisnya yang terlalu boleh buat kejung lidah. Makan sekali-sekala, sedaplah.

Oh, juga, jangan makan terus ketika panas. Nanti melecur lidah, panas dengan gula yang mencair dalam kuih. Selamat mencuba!

p/s: Saya tidak tahu jika saya bias atau tidak, tapi orang Melaka adalah pembuat gula melaka tersedap dalam dunia. 

Comments

Popular Posts