Siri siri makanan

Seperti yang terjanji, saya mahu menulis tentang makanan dan resepi (yang saya bikin pada jamuan makan tahun baru) dan jika mahu menyebarkan, saya amat berbesar hati. 


Laksa Johor


1. Tumis bahan bumbu yang telah dikisar (bawang merah, bawang putih, halia, sedikit lengkuas, serai, serbuk kari ikan) sehingga garing. Tahap kegaringan bahan tumis adalah sangat kritikal, sedap atau tidak laksa yang dimasak bergantung pada tahap ini.
2. Masukkan santan pekat, ikan (yang direbus, dibuang tulang, dan dikisar), air rebusan ikan, dan udang kering (yang dikisar)
3. Masak sehingga naik minyak (nampak garisan minyak berlinang di permukaan)
4. Masukkan kerisik, tunggu mendidih sambil sentiasa dikacau, tambah garam dan gula(jika mahu)
5. Tutup api

6. Hidang bersama spageti (yang direbus dengan setitis minyak dan sedikit garam (jika tidak mahu garam pun tak mengapa))
7. Hidang juga dengan bahan tabur iaitu daun kesum (yang dihiris halus), daun selasih (juga dihiris), bawang (dihiris bulat), timun (dihiris bulat=buang kulit, kemudian potong keliling sehingga kawasan tengah/biji. Kemudian potong bulat, hasilnya akan bulat bulat seperti lingkaran bawang), tauge, dan sambal belacan.

* Untuk 1 kilo ikan, guna santan sebanyak 4 biji kelapa
* Ikan yang boleh digunakan adalah ikan parang atau ikan selar kuning
* untuk 4 biji kelapa, gunakan 1 setengah biji kelapa untuk kerisik
* Adalah penting untuk mengguna kelapa parut asli (bukan santan segera), dan kerisik segar (yang digoreng dan dikisar sendiri) untuk mendapat kelazatan sebenar laksa johor
* Lebihkan bawang dan serai untuk meningkat kelazatan kuah laksa
*Untuk hidangan di atas, gunakan satu setengah paket spageti (500g sepaket) untuk dimakan 10 ke 12 orang.


Laksa johor antara jenis laksa yang saya suka, selain laksa sarawak dan laksam. Mungkin kerana kehadiran santan yang lemak dan memikat. Saya fikir, founder Laksa Shack sangat bijak dan cemerlang dengan ideanya mengumpul semua jenis laksa yang ada di Malaysia di bawah satu bumbung. Sayangnya Laksa Shack tiada di Bintulu. 



Kek Coklat Lembab (Chocolate Moist Cake) 


1. Ayak bersama 2 setengah cawan tepung gandum, 1 cawan serbuk koko, 1 sudu kecil baking powder, 2 sudu kecil bicarbonate soda. Gaul, dan campurkan 2 cawan setengah gula.
2. Masukkan 2 biji telur, gaul lagi.
3. Masukkan air nescafe (1 setengah sudu kecil nescafe dilarutkan dalam secawan air suam), gaul sebati.
4. Masukkan setin susu Ideal (atau susu cair lain), gaul sebati.
5. Masukkan 1 cawan minyak jagung, gaul sebati.
6. Masukkan secubit garam dan 1 sudu kecil esen vanila
7.  Tuang dalam loyang yang dilenser marjerin dan dilapis tepung (untuk memudahkan proses pengeluaran kek). Bakar pada 180 darjah celcius selama 45 minit, (30 minit pertama, tukarkan kedudukan loyang)
8. Untuk topping coklat, cairkan 250gm cooking chocolate secara double boiler.
9. Bila cair sepenuhnya, alihkan dari api, tambahkan 130ml whipping cream dan 1 sudu besar mentega, gaul hingga sebati.
10. Tuang dan ratakan atas kek
11. Taburkan chocolate rice di atasnya. Siap untuk dihidang!


Kek coklat ini adalah yang terbaik yang pernah saya buat, dengan aspek bahan yang mudah, dan boleh dilakukan tanpa mengguna cake-mixer. Kelembapan wujud dengan bahan air suam, dan susu cair. Jangan terkejut jika adunan akhir adalah cair, kerana ia memang begitu. Resepi asal dari Allahyarhamah Induk Barirah, dimodifikasi oleh emak yang rajin buat kek. Selamat mencuba!




Kek Keju Strawberi (No bake strawberry cheesecake)

1. Hancurkan 300gm biskut digestive atau biskut marie
2. Cairkan (double boiler) 125gm mentega, dan gaul dengan biskut.
3. Masukkan dalam loyang (springfoam tin), padatkan. Masukkan dalam peti sejuk dan biar keras selama setengah jam
4. Campurkan 250gm cream cheese (kraft/philadelphia) yang dipotong kiub, suhu bilik, dengan 250ml susu pekat manis. Pukul hingga sebati.
5. Larutkan 2 sudu kecil gelatin (pastikan halal) dalam 1 suku cawan air panas, dan campurkan ke dalam campuran cheese dengan susu tadi.
6. Masukkan perasa strawberi, dan kacau sebati.
7. Tuang adunan ke dalam base biskut, dan sejukkan selama 3 hingga 4 jam.
8. Sedia untuk dihidang!


Kek keju ini saya belajar dari teman lab di UKM, Waznul. Dia dapat dari fotopages siapa tak dapat saya pastikan. Diana pun ada buat kek keju serupa ini. Cubalah, mudah, lazat, dan siap disedia kurang sejam. 




Biskut Coklat Cip (Chocolate Chip Cookies)


1. Campurkan bersama
- 2/3 cawan shortening (crisco)
- 2/3 cawan mentega (suhu bilik)
-1 cawan gula
- 1 cawan gula perang
-2 biji telur
- 2 sudu kecil esen vanila
- 3 cawan tepung gandum
- 1 sudu kecil bicarbonate soda
- 1 cawan kacang (dipanggang, dihancur-kasar)
- 1 cawan cip coklat
2. gaul sebati, dan susun (drop) dalam loyang pembakar
3. bakar pada 180 darjah celcius selama 8 minit


Sedapnya biskut ini, sejujurnya biskut terbaik yang pernah saya buat. Resepi asal dari sepupu, Kak Mona Syafini (resepi dari buku apa saya kurang pasti). Hampir lebih kurang rasanya seperti Biskut Famous Amos, sungguh! Cubalah, terlalu mudah!

Apa yang saya belajar setakat ini, jika bahan tidak cukup, jangan substitutkan dengan bahan lain, kerana hasilnya pasti beda. Oh, juga, jika membakar biskut, pastikan haba wujud dari atas dan bawah untuk mengelakkan ketaksamaan rangup. Selamat mencuba!

Comments

Intan_Lidiana said…
waaaaaaa cak eoklat nih leh beljar nih.. cam best jew..

Popular Posts