Mari melilit lilit spageti
Berikutan fakta fakta dan komentar yang kami terima kebelakangan ini, maka saya dan suami sedang cuba untuk bertukar kepada cara hidup baru, cara hidup lebih sihat. Maka sepanjang minggu ini saya sedang cuba untuk menyedia menu kurang minyak, kurang garam, kurang kalori, kurang kolesterol, dan kurang nasi. Juga lebih air dan sayur dan buah.
Sebagai amatur dan pencuba-jadi-kreatif, saya telah pun menyedia ayam bakar+mashed potato (dan kuahnya)+dan sayur rebus; semalam. Kerana sedikit segan dan juga kerana tidak sempat mengambil gambarnya, maka lain kali saja saya poskan gambar dan resepinya.
Maka hari ini, saya mencuba cuba lagi. Menu Vegie Sphagetti with Squid, versi saya.
1) Pertama sekali haruslah rebus spageti dengan air dan setitis minyak.
2) Tumis bawang putih dengan lada hitam (yang ditumbuk) sehingga garing, jangan sampai hangus kerana bawang putih mudah hangus.
3) Masukkan sotong, gaul dan biarkan sampai air sotong habis keluar dan kemudian masukkan sayur-sayur yang terlibat (seperti dalam gambar, saya masukkan kobis, tomato potong kiub, lobak merah potong kiub juga, dan brokoli). (Terpulang jika mahu libatkan sayur kegemaran yang lain, cuma agak kurang sesuai masukkan sayuran berdaun kerana mereka cepat masak, nanti lama jadi layu pula-dan hilang vitamin)
4) Kemudian terus masukkan spageti yang dah direbus dan ditos air, biar dimasak sekali dengan sayur, untuk mengekal rasa dan vitamin pada sayur.
5) Masukkan garam dan sedikit gula. Jika cukup rasa, padamkan api, sedia untuk dihidang!
* Terpulang jika mahu libatkan tomato puri, cuma saya mahu spageti ini bebas kuah. Inikan spageti versi saya, maka silalah setuju dengan versi ini.
Bagaimana rasanya? Suami saya kata sedap, cuma sedikit pahit, mungkin kerana sotong dan lada hitam kombinasi yang menghasilkan sedikit pahit. Sedikit saja. Jadi, boleh lah cuba. Mudahnya, terlalu!
Jika ada yang boleh bantu saya dengan resepi lain, resepi sihat (dan mudah) yang lain, saya sangat hargai. Kadang-kadang pening juga mahu perah otak fikir resepi sihat. Sekian.
Comments