Makaroni dan keju
Saya sempat mencuba resepi ini semasa pulang ke Melaka tempoh hari. Dimodifikasi dari Resepi.net, saya fikir ia lebih complicated dari mac n cheese Kenny Rogers. Rasanya, agak masam, tapi sedap (bagi yang sukakan pasta mungkin suka rasanya). Makan sedikit sudah boleh kenyang. Walaupun bahan-bahannya agak banyak (dan leceh), tapi berbaloi. Cubalah!
Makaroni dan Keju (Macaroni and cheese)
Terbahagi kepada 3 bahagian
Bahagian A (makaroni)
1) Rebus 200g makaroni dengan air dan setitis minyak sayur sehingga masak
2) Toskan, dan ketepikan
Bahagian B (sos tomato)
1) Tumis bawang merah, bawang putih, (yang dicincang) bersama 50g daging cincang sehingga garing
2) Masukkan sos tomato atau tomato puree (1/3 cawan), serbuk oregano, serbuk paprika dan serbuk cayenne pepper (agak-agak, hanya untuk menambah flavour)
3) Kemudian masukkan 2 biji tomato (yang dipotong kiub) ke dalam tumisan tadi
4) Tambah garam akhir sekali untuk rasa.
5) Angkat dan ketepikan.
Bahagian C (sos keju putih/ white cheese sauce)
1) Panaskan periuk, masukkan dua sudu mentega, gaul
2) Masukkan 2 sudu tepung gandum, gaul sebati dengan mentega
3) Masukkan 2 cawan susu segar, kacau sehingga pekat
4) Masukkan 125g keju cheddar (yang telah diparut halus) ke dalam sos putih yang telah pekat, tunggu hingga larut kesemuanya, dan sedikit mendidih.
5) Tutup api
Bahagian Akhir (kombinasi kesemua)
1) Gaulkan makaroni dengan sos tomato
2) Sapukan loyang pembakar dengan mentega (supaya mudah angkat dan tak melekat)
3) Masukkan separuh makaroni yang digaul sos tomato, ratakan
4) Tuangkan separuh sos putih ke atas makaroni, ratakan
5) Kemudian masukkan lagi separuh ke atas lapisan sos putih tadi
6) Dan tuangkan sos putih yang lebih tadi ke atas makaroni, ratakan
7) Taburkan 125g lagi keju cheddar yang telah diparut di atas susunan makaroni dalam loyang.
8) Bakar selama 5 minit pada suhu 200 darjah celcius, untuk menggaringkan makaroni dan keju tabur.
9) Potong dan sedia untuk dimakan!
* Boleh juga dimakan tanpa dibakar. Terpulang.
* Sos putih itu, jika ditambah dengan udang dan sotong, sudah boleh jadi sos untuk dimakan dengan spageti (Jadi spageti marinara. Mudah, kan?)
Comments