Cooking is like love. It should be entered into with abandon or not at all.



Entri memasak lagi. Ini menu hari ini, (tanpa ikan selar kuning goreng garing, umm, sedapnya). Terus ke peserta pertama. Ayam masak kurma.

Ayam Masak Kurma


1) Hiris (atau tumbuk) bersama halia, bawang putih dan bawang merah, untuk ditumis bersama bahan tumis 4 beradik (bunga lawang, biji pelaga, bunga cengkih dan kulit kayu manis). Tumis. Sehingga bangkit bau.

2) Masukkan rempah kurma (3-4 sudu besar, bergantung kepada ayam yang terlibat dalam projek kali ini), gaul mesra dan masukkan sedikit air supaya tidaklah hangus kesemua dalam periuk. Jika hangus, pandai-pandailah tutup api, dan tunggu suhu turun dan, teruskan usaha memasak.

3) Masukkan ayam (yang sudah dibersih dan diselawat) bersama ubi kentang (dibelah 4), tutup periuk, supaya ayam dan kentang cepat empuk. Sambil itu buka tutup dan kacau mesra sekali sekala.

4) Bila nampak sudah naik minyak (rempah sudah garing), masukkan santan. Kacau dan tunggu mendidih. Pastikan kentang empuk.

5) Cuba rasa garam (atau gula, jika mahu), dan jika sudah betul rasanya, bolehlah tutup api dan sedia dihidang!


Alahai, mudahnya masak kurma ini. Kita beruntung kerana Adabi banyak membantu mengisar dan mengadun rempah untuk memasak. Cuma perlu beli dan guna. Dengan betul. Saya selalu guna rempah Adabi, walaupun kadang-kadang suka juga guna rempah Baba's yang pekat sedap itu.  Masakan ini, boleh juga dimasak dengan daging, pastinya, dan masakan paling selamat untuk sesiapa yang tidak makan pedas. Oh, juga, untuk tambah lemaknya, boleh kisar serbuk badam dan tabur semasa hendak mendidih. Ummm, sedapnya!




Acar Timun

1) Potong panjang-panjang timun dan lobak merah (seperti dalam gambar). Jangan buang kulit timun. Rendam dalam air garam.

2) Tumis bawang putih yang dititik, sehingga bangkit bau. Masukkan cili kisar satu sudu besar. Gaul sehingga garing, masukkan sedikit air. Masukkan garam, gula dan cuka. Didihkan.

3) Rasa campuran tadi, pastikan ada rasa manis lebih dari rasa masam. Masukkan timun dan lobak (yang telah ditapis dari air garam). Masukkan juga bawang besar potong. Masukkan sebentar saja, untuk mesra, jangan sampai timun lembut. Kerana acar ini mengharuskan ia rangup rangup untuk dimakan.

4) Tutup api, dan boleh dihidang!

Mudah, kan? Saya pertama kali membuat acar timun, sendiri. Lagi lazat kalau ada biji sawi dan dicampur sekali. Sangat komplemen dengan masakan yang penuh rasa lemak seperti masak kurma (di atas). Rasa masam manis dan rangup rangup. Boleh juga dimasukkan dalam menu nasi beriani dan nasi minyak. Cubalah!



Betik

Tidak perlulah cara cara pula. Saya sengaja menempekkan gambarnya. Terlangsung makan isinya yang lembut dan ranum, manis dan sungguh berair. Sedap. Satu lagi buah tropika yang berjaya memenangi hati saya selepas nenas, mangga, jambu batu, jambu bol, eh, banyak pula. Saya memang suka buah tropika, pendek cerita.


Selamat memasak, berhujung minggu, berehat-rehat, dan berkenduri kendara. 

Comments

Popular Posts