Mari main masak masak

Agak lama juga untuk memuat naik gambar. Entah kenapa ada masalah mungkin dengan server. (Hampir putus asa dan putus sabar). Ini kompilasi masakan masakan yang saya pernah masak. Ada yang baru, ada yang sudah lama masak, cuma baru mahu diposkan di sini. Semuanya mudah. Silalah. Cuba.




Udang Masak Pedas

1) Gaulkan udang dengan sedikit garam, lada putih dan sedikit tepung beras.
2) Goreng (saute) dengan minyak sedikit, sehingga udang garing.
3) Keluarkan udang, tambah sedikit minyak lagi dalam kuali. Tumis bawang merah dan putih (yang ditumbuk), sehingga garing. 
4) Masukkan cili (3-4 sudu, terpulang tahap kepedasan) dan garingkan.
5) Masukkan sos tiram (1 sudu besar), masukkan sedikit garam dan gula.
6) Akhir sekali, selepas semuanya telah garing dan cukup rasa, maka masukkan bawang potong dan cili potong untuk hiasan. 

Mudah, kan? Saya baru mencuba cuba ini. Lepas makan sekali di Kuburia, seperti lazat, maka inilah. Rasanya menurut suami, lain sedikit, tetapi masih sedap. Sila lah cuba. 




Ayam Masak Kicap

1) Kisar bersama (atau tumbuk jika rajin) bawang merah, bawang putih, sedikit halia, dan sedikit lada hitam sehingga halus, dan tumis. Tumis sehingga garing. 
2) Masukkan ayam (yang telah dibasuh bersih), dan gaul mesra. Sentiasa gaul sehingga ayam empuk (airnya keluar dan kering).
3) Masukkan kicap dan sedikit cuka, gaul sebati.
4) Masukkan daun sup (dipotong seinci-seinci), bawang (dipotong bulat), dan tomato untuk hiasan.
5) Boleh dihidang!

Masakan ini mak mertua saya yang ajarkan. Antara masakan kegemaran encik suami. Sampai sekarang saya masih mencuba untuk mendapatkan rasa sempurna seperti dimasak oleh emak mertua. Masih, belum berjaya. Nampak mudah, ya, tetapi kadang kadang ratio kicap, atau cuka, atau lada hitam saya kurang tepat. Maka, saya akan terus cuba sampai jaya. Masakan berkicap antara masakan kegemaran masyarakat selatan, saya fikir. Silalah cuba. (Oh, maafkan saya, dalam gambar itu tiada lah hiasan yang lengkap. Sila imajin saja)




Asam Pedas Melaka

1) Tumis bawang merah, bawang putih, belacan dan kunyit hidup (yang semuanya telah ditumbuk halus) sehingga garing. Masukkan serai (yang dititik).
2) Masukkan cili (3-4 sudu, terpulang kepada tahap kepekatan dan kepedasan), gaul sebati hingga garing. Tahap ini sangat penting, kerana asam pedas melaka tidak pedas sangat walaupun merah, kerana cilinya garing.
3) Masukkan ikan (yang telah direndam dengan air asam terlebih dahulu), dengan air asam rendaman ikan. Tunggu mendidih.
4) Masukkan lagi air asam pekat, tunggu mendidih. Gunakan asam yang sama, cairkan lagi masakan dengan air asam itu. (Jadikan kuah hingga tahap melepasi ikan). Jangan terlalu cair, dan jangan pula terlalu pekat.
5) Masukkan garam, bendi atau tomato, atau terung (yang dipotong serong).
6) Bila mendidih, masukkan daun limau atau daun kesum atau bunga kantan untuk aroma.


Nampak mudah, tapi sedikit mencabar. Saya belajar daripada emak, tentunya. Waktu mula mula belajar masak ini, saya banyak kali gagal menepati citarasa, terkadang tercair, kadang terlalu banyak minyak, atau tidak cukup garing cili. Bagi orang Melaka, masakan ini merupakan antara masakan autentik dan wajib ada setiap minggu. 


Kata teman saya, asam pedas, yang menyedapkannya tentulah aromanya. Benar sekali. Sayangnya saya belum tanam pokok limau, atau daun kesum. Belum berjaya sebenarnya.


Untuk asam pedas ini, ikan yang boleh digunakan untuk dimasak adalah ikan cencaru, parang, tenggiri, kembung, jenahak, dekut, dan pastinya terubuk. Cubalah. Bahan-bahannya memang mudah. (Maafkan sekali lagi, asam pedas saya dalam gambar sedikit bosan, tiada bendi atau terung pula kali ini).


Cukuplah untuk kali ini. Untuk Diana yang sudah lama request untuk asam pedas, ini saya tujukan khas untuk kamu. Selamat mencuba!



Oh, juga selamat mengundi, dan Selamat Pengantin Baru untuk teman teman yang bakal bernikah dan mengadakan majlis, (Wahida dan Kano). Semoga majlis lancar dan perkahwinan diberkatiNya! Amiiin.

Comments

Popular Posts