You'll always be a part of me, I'm part of you definitely

Selain projek masak-masak dan makan-makan di rumah pulang semenanjung dua minggu lepas, aktiviti berjalan-jalan dan makan bersama emak dan adik saya, adalah antara highlight, memandangkan negeri saya yang bertuah itu memang banyak tempat makan dan ya, tempat menarik untuk dikunjungi. Memang, kami orang Melaka pun tidak cukup masa kerana kemunculan tempat tarikan pelancong seperti Masjid Terapung Kristal lah, Eye of Malacca lah, Dataran Pahlawan lah, Menara Tinjau lah, dan banyak lagi. Sedangkan Jonker Street yang klasik itupun saya belum pergi, inikan pula yang muda-muda. 

Tidak, saya belum pergi pun mana-mana tempat baru itu. Nantilah, pulang Melaka nanti kalau sempat saya bawalah Zul melawat-lawat Melaka yang bersejarah itu. 

Ini lawatan makan ke Kluang Station di Tesco Melaka selepas kami membeli sedikit barang dapur tempoh hari. Emak dan ayah kadang-kadang rajin juga datang minum teh dan makan roti bakar. Meski saya kurang setuju dengan overpriced Roti Bakarnya, tapi kata emak, sekali sekala apa salahnya. Dan Dya, adik saya mencadang makan Kepak Ayam Madunya yang enak. Memang, lembut dan sangat sedap, hampir sama dengan Chicken Wing Pizza Hut, cuma lebih lembut. Sedap!




Mestilah saya minum Cham. Tapi entah kenapa, saya rasa kurang pekat berbanding dulu. 
Kalau pekat lagi mesti sedap.

Inilah Roti Bakar yang saya beritahu. RM1.80, untuk dua keping roti saja. Cuma persembahannya yang menarik dengan mentega potong nipis dan Kaya Kluang Station yang aduhai, manis berlemak. Bolehlah, sedap. Cuma mahal.


Emak saya cukup gemar dengan Teh Cina yang tiada gula. Itu, di sebelah kiri itu kepak ayam yang lembut dan malaslah nak beritahu lagi, (sedap).


Dya dengan emak. Tengoklah, setiap masa pegang telefon. 
Masa tidur pun pegang telefon. Betul.


Oh, emak dengan saya yang bertudung senget. Marliza kata, guna DSLR memang selalu tudung jadi penyek. (Tengok, emak macam risau Dya ambil gambar).

Bagus juga ada cawangan Kluang Station di Melaka. Ada seorang teman Zul, yang kebetulan orang Johor mahu berprinsip tidak mahu mencuba makan-makan di mana-mana cawangan Kluang Station sebelum dia cuba yang orijinnya di Kluang. Hebat juga dia. Kalau Old Town Kopitiam pun harus guna prinsip sama, hebatlah dia. Sangat bersabar dan berhati teguh. 

Oh, selamat berhari minggu, semoga kita sentiasa memanfaatkan masa yang ada. 

p/s: Tajuk entri itu lagu yang David Cook nyanyi, yang berlegar-legar dalam kepala saya (Ayuni punya pasallah ni), saya mahu lepaskan di sini. Always Be My Baby. Tiada kena mengena pun.

Comments

Popular Posts