Bisiklah kiranya aku bersalah, sedetik tersirat rasa










Sudah banyak kali saya mengulang tonton filem Waris Jari Hantu ini. Kali pertama menonton bersama Marliza dan Ayunik, sebulan sebelum saya pulang rumah for good, untuk berkahwin.

Minggu lepas, cerita ini ditayangkan semula selepas filem Jangan Pandang Belakang. Begitu berbezanya kualiti dan laku lakon mereka yang terlibat, jika mahu membanding. Saya begitu terkesan dengan usaha bersungguh-sungguh Shuhaimi Baba pada kualiti warna, gambar, fotografi, dan kebersahajaan lakonan. Meski intipati ceritanya (tentang perwarisan manusia jadian haiwan), saya kurang pasti, dibenarkan Islam atau tidak. 

Apa yang paling terkesan dalam jiwa adalah, selepas menonton filem ini, saya terfikir perasaan dan nasib mereka dalam golongan khunsa. Yang sebelum ini saya abaikan sahaja. Titik paling menghiris hati apabila Ari, yang dilakonkan dengan cemerlang oleh Rusydi Ramli, pulang kampung menemu kakak kandungnya, selepas selesai menukar jantina. Dia menyatakan dilema dalam jiwanya, berada dalam situasi sebelum pembedahan pun dipersalah dan diejek orang, bila dia berkeputusan menukar terus kepada kecenderungannya juga, orang susah menerimanya. 

Juga scene ketika Ari bertemu Tina (lakonan Maya Karin) di rumahnya, pertama kali juga selepas pembedahan jantina, dan Tina yang sedang remuk redam menahan rindu, dan terkecewa yang amat apabila manusia yang ditunggu, pulang dalam kondisi yang berlainan. Lantas membunuh harapannya untuk berumahtangga dengan Ari (yang sudah menjadi Arina).

Saya seperti membuat movie review pula. Entah tiba-tiba tergerak mahu menulis tentang filem ini yang sudah setahun lepas ditayang. 

Meski ada beberapa kelemahan seperti ilusi 3D harimau kadang-kadang jadi kadang tidak, dan watak Ah Meng (yang juga bertukar perempuan) oleh Rashid Salleh seperti sedikit kurang semulajadi (tetapi menjadi elemen kelakar), dan sekali sekala Maya Karin terlepas pelat Melayunya, juga deringan telefon Celcom yang tidak dielakkan, sama untuk watak Maya Karin dan Kavita Sidhu, tetapi kesemua boleh dimaafkan dengan wujudnya kekuatan watak-watak utama, lokasi kampung yang segar, kekuatan sinematografi yang mantap, dan bahasa loghat negeri yang pelik tetapi boleh diterima. Oh, juga muzik latar yang sungguh cemerlang (nyanyian Faizal Tahir).

Manusia khunsa terjadi apabila berlakunya proses mutasi atau kromosom tidak normal yang muncul pada perkembangan awal embrio. Menghasilkan embrio yang mempunyai dua jenis tisu atau genotip pembiakan. Ia juga disebut hermafroditisme. Ada satu cerita (yang tidak dipastikan kesahihan sanadnya) pada zaman nabi tentang manusia khunsa. Wajib bagi mereka untuk memilih kecenderungan jantina untuk membolehkan proses-proses beribadat, berkahwin dan sebagainya ditentukan. 

Sebagai pelajar sains, saya percaya bahawa segala yang berlaku sudah mesti dalam ketentuan Yang Esa. Tetapi ada faktor yang boleh dijelaskan secara saintifik, seperti mutasi dan ketidaknormalan dalam kromosom. 

Gentar juga kerana saya masih belum punya anak. Perkara-perkara yang membimbangkan seperti kecacatan dan mutasi ini sangat berkait rapat dengan pencemaran yang berlaku hari ini. Termasuk pencemaran gelombang yang tidak dapat dilihat, atau sinar radioaktif terbebas tanpa  sedar, atau elemen merkuri yang wujud dalam ikan yang dimakan kerana laut yang makin tercemar.

Berat, dan kompleks, bukan? Paling hebat yang kita boleh lakukan adalah, memastikan dan menyingkir bahan berbahaya dalam makan dan pakai, dan berdoa semoga dikurnia yang terbaik dariNya.



Comments

Popular Posts