Jan-jan jala, jala itik jala ayam
Sudah banyak kali mencuba, akhirnya saya dapat juga sediakan Roti Jala yang bila dihidangkan, adalah rupa roti jalanya. Resepi dari rancangan memasak di TV (maaf, sudah lupa rancangan apa dan siapa yang menghoskan), bahan-bahan mudah, dan silalah cuba!
Roti Jala
1) Tepung gandum (terpulang berapa banyak), dimasukkan ke dalam mangkuk, dicampur dengan sebiji telur, dan sedikit santan. Masukkan sedikit garam dan air sehingga menjadi adunan tepung yang cair. Jangan terlalu cair (agak-agaklah). Masukkan sedikit kunyit untuk memberi warna kuning. Gaul hingga sebati. Pastikan tidak ada ketul tepung.
2) Tapis adunan tersebut untuk menghapuskan sebarang ketulan yang akan menyumbatkan acuan roti jala.
3) Panaskan kuali (kalau boleh gunakan kuali leper), dan titiskan sedikit minyak untuk mengelakkan daripada melekat.
4) Kemudian curahkan sedikit adunan tepung ke dalam acuan, dan tebarkan acuan supaya membentuk bulat dan berjala-jala.
5) Biar seketika, nampak sedikit garing, terbalikkan dan kemudian angkat.
6) Gulung atau lipat jadi segitiga. Hidangkan bersama kari ayam atau daging.
Mudah, kan? Acuan roti jala ada banyak dijual, di Tesco kalau tidak silap 60 sen saja. Cubalah, buat hidangan minum petang.
Oh, untuk memudahkan tepung digaul sebati, masukkan semua adunan dalam pengisar, dan kisar hingga halus. Kemudian tapislah. Kali ketiga saya buat roti jala baru terfikir mahu mengisarnya. Alahai, mudahnya memasak dengan bantuan sedikit teknologi. Apa lagi?
Comments